Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.
Katanya, sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh dengan mengiktiraf peranan mereka dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah.
"Buat masa ini, golongan wanita memegang 25% daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama.
"Namun, masih terdapat 27% atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita," katanya dalam pembentangan petang ini.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.
Tengku Zafrul menyifatkan, kaum wanita, jika diberi peluang dan ruang, boleh menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara.
"Kita seharusnya memastikan kaum wanita dapat memenuhi potensi mereka dalam menyumbang kepada kesejahteraan kita bersama," jelasnya. - DagangNews.com