Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan akan meneruskan kempen ‘Shop Malaysia Online’ dan ‘Go-eCommerce Onboarding’ dengan peruntukan RM250 juta susulan kejayaannya yang telah memanfaatkan lebih 500,000 usahawan tempatan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tumpuan khas diberikan menerusi belanjawan ini bagi membantu perusahaan sosial, halal dan kraf tangan, pertanian dan usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital.
Beliau turut mengumumkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) layak menerima manfaat sehingga RM2,000 bagi aktiviti penerapan edagang, latihan dalam pemasaran dan pembayaran digital.
“Sebagai inisiatif menyokong pemulihan sektor pelancongan, kerajaan menggalakkan penggunaan baucar Shop Malaysia Online di premis perniagaan dan pembelian tiket tempat tarikan pelancong seperti zoo dan taman tema,” katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di sini hari ini.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM33 juta bagi merancakkan penghasilan dan pembelian produk tempatan.
"Ini bagi melaksanakan inisiatif menyokong produk hasil tangan tempatan dan produk khazanah alam melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, Program Jualan Malaysia dan Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung.
"Bagi pihak yang berminat menjadi usahawan francais, kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan menyediakan RM74 juta antara lain untuk menyediakan program latihan dan bimbingan perniagaan serta skim pembiayaan mudah sifar peratus selama enam bulan pertama beserta moratorium," katanya. -DagangNews.Com