Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan menerusi Bajet 2022 memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan Kerajaan supaya mesra OKU.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut antaranya untuk menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan.
"Selain itu, RM10 juta juga diperuntukkan untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU," katanya pada sesi pembentangan bajet 2022 di sini hari ini.
Tambahnya, bagi memastikan golongan muda OKU mendapat tempat dalam bidang pekerjaan, kerajaan akan menyediakan kuota khas sebanyak 1 % untuk program MyStep kepada golongan OKU.
"Bagi meningkatkan akses terhadap media di samping membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan BERNAMA, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka.
"Bagi tahun hadapan juga, kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU. Harapnya, ini sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup golongan OKU," katanya.
Selain itu, kerajaan turut bercadang memperluaskan pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Komuniti yang kini dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia ke universiti-universiti awam lain. -DagangNews.Com