Bajet 2022 sedia pelbagai bantuan perkasa wanita | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 sedia pelbagai bantuan perkasa wanita

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Bajet 2022 menyediakan pelbagai bantuan khusus untuk memperkasa golongan wanita di negara ini termasuk dalam bidang keusahawanan.

 

Berikut adalah bantuan yang diberikan kepada wanita di bawah bajet kali ini seperti yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang ini.

 

  • Memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM230 juta melalui Program Dananita di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekunita di bawah Tekun Nasional bagi membantu usahawan wanita yang terkesan akibat COVID-19 dan meningkatkan kapasiti perniagaan.

 

  • Melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian. Seramai 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini.

 

  • Bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat kaum ibu berkerjaya, RM30 juta disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutama di hospital dan universiti awam. 

 

  • Menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat. Untuk itu, selain insentif cukai, kerajaan turut akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat 1 pejabat.

 

  • Sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

 

  • Bersedia memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu. Di samping itu, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara melalui Skuad  WAJA akan dilaksanakan.

 

  • Selain itu, bagi melindungi kebajikan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga, kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita

 

  • Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40. Dianggarkan sebanyak 130,000 remaja wanita dari keluarga B40 di Malaysia tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan. Di samping itu, kempen dan pendidikan kesihatan reproduktif juga akan terus dijalankan di sekolah-sekolah dengan kerjasama pihak NGO. 

 

  • Lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita. - DagangNews.com