Bajet 2023: Bantuan RM2,500 untuk isi rumah tanggung 5 anak atau lebih | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Bantuan RM2,500 untuk isi rumah tanggung 5 anak atau lebih

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Sebanyak RM2,500 menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia ialah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak. 

 

Beliau berkata, bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.

 

"Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak. Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

 

"Tahun 2023, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini.

 

"Misalnya, pasangan Firdaus dan Nor Aliza dari Pasir Gudang yang mempunyai lima orang cahaya mata telah menerima BKM sebanyak RM2,000 tahun ini. Tahun hadapan mereka layak menerima BKM RM2,500.

 

"Ling Mee Hoon pula seorang ibu tunggal dari Sitiawan yang membesarkan tiga orang anak mendapat BKM RM1,300 tahun ini dan layak menerima BKM RM1,500 pada tahun 2023," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

 

bajet

 

 

Tengku Zafrul berkata, Bantuan Keluarga Malaysia 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion. 

 

BKM 2023 ialah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan 5 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion, katanya.

 

"Atas keprihatinan kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan BKM untuk tahun 2023 akan melebihi RM10 bilion. Diharap bantuan ini dapat menghela nafas lega para penerima dan digunakan sebaiknya mengikut keperluan masing-masing," katanya.

 

Tambah beliau, kerajaan berhasrat untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025, dan ditangani secara holistik melalui pendekatan 'whole-of- nation'. 

 

Katanya, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia telah dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan hanya RM150 juta.

 

"Untuk tahun 2023, bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, RM1 bilion disediakan iaitu RM750 juta peruntukan kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai RM250 juta.

 

"Program ini akan menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 50,000 isi rumah miskin tegar bagi meningkatkan pendapatan antaranya menerusi projek pertanian serta keusahawanan produk dan perkhidmatan. 

 

"Bantuan yang diberikan termasuklah latihan, modal permulaan, insentif pertanian, pemasaran dan pendigitalan. Diharapkan, usaha ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar sehingga melepasi pendapatan garis kemiskinan makanan," katanya. - DagangNews.com