Bajet 2023 : Kerajaan cadang pengecualian cukai galak wanita kembali bekerja | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Kerajaan cadang pengecualian cukai galak wanita kembali bekerja

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima golongan wanita mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh 'career break'.

 

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita untuk memperkasa peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat

 

"Ini bagi mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai
ahli lembaga pengarah.

 

"Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk pilihan raya umum akan datang," katanya ketika membentangkan Bajet  2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut beliau, setakat Oktober 2022, wanita memegang 29% daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat senaraian awam utama.

 

"Kesemua 100 syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka," tambahnya. - DagangNews.com