Bajet 2023 : Kerajaan peruntuk RM55 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Kerajaan peruntuk RM55 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan memperuntukkan lebih RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023. 

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah dana yang besar ini adalah bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.

 

"Kerajaan komited untuk memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan. 

 

"Tahun hadapan, sebanyak RM200 juta disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu termasuklah Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu Sabah.

 

Menurut beliau, program Jualan Murah Keluarga Malaysia telah dilaksanakan sejak Ogos lalu dan memanfaatkan pengguna melalui tawaran harga barangan keperluan asas sehingga 20% lebih murah berbanding harga pasaran. 

 

Katanya, sejak dilancarkan, program ini telah diadakan di lebih 500 lokasi dan minggu ini telah dianjurkan di Kanowit, Sarawak.

 

"Melihatkan impak positif program ini khususnya buat isi rumah B40, kerajaan komited untuk meneruskan  pelaksanaan Program ini di seluruh negara meliputi 600 DUN, 13 Parlimen Wilayah Persekutuan dan di  universiti awam dengan peruntukan RM100 juta," katanya. - DagangNews.com