Bajet 2023: RM2.3 bilion bina, selengga, naik taraf sekolah di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: RM2.3 bilion bina, selengga, naik taraf sekolah di seluruh negara

KUALA LUMPUR 7 Okt - Sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah bagi tahun 2023, peningkatan ketara berbanding peruntukan RM1.7 bilion ringgit bagi tahun ini.

 

Daripada jumlah tersebut, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan cina dan tamil serta sekolah agama.


"Sejumlah RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak.

 

"Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, Kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima buah sekolah baharu dengan kos RM430 juta melibatkan SMK Nabalu Sabah, SMK Dudong Sarawak, SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam Selangor,'' kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini. - DagangNews.com