Bakal disenarai di Pasaran ACE, OB Holdings meterai perjanjian taja jamin IPO dengan Alliance Islamic | DagangNews Skip to main content

Bakal disenarai di Pasaran ACE, OB Holdings meterai perjanjian taja jamin IPO dengan Alliance Islamic

Dari kiri, Lee Bao Yu, Pengarah Eksekutif OB Holdings Berhad, Teoh Eng Sia, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Berhad dan Tee Kok Wah, Naib Presiden Kanan, Ketua Kewangan Korporat Alliance Islamic Bank.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Sept - OB Holdings Berhad (OB Holdings), penyedia perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) serta suplemen menandatangani perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Pelaksanaan IPO OB Holdings melibatkan terbitan awam sebanyak 120.0 juta saham biasa baharu, mewakili 30.6% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan. 

 

Daripada jumlah tersebut, 19.6 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai di Malaysia melalui pengundian manakala 7.8 juta saham untuk Pengarah, pekerja dan individu yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan OB Holdings dan anak-anak syarikatnya.

 

Sebanyak 43.6 juta saham lagi kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, manakala baki 49.0 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang telah dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Mengikut perjanjian taja jamin tersebut, Alliance Islamic akan menaja jamin 19.6 juta saham biasa yang disediakan untuk orang ramai di Malaysia dan 7.8 juta Saham untuk Peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Kumpulan OB Holdings menyediakan perkhidmatan pembuatan makanan dan minuman yang diperkaya serta suplemen kepada pemilik jenama pihak ketiga, termasuk pembangunan produk, pendaftaran produk, pengadaan bekalan, pembuatan dan pembungkusan, serta penghantaran produk dalam pelbagai bentuk produk. 

 

Kumpulan juga terlibat dalam pembangunan, pembuatan, jualan dan pemasaran jenamanya sendiri yang terdiri daripada makanan dan minuman yang diperkaya serta suplemen diet.

 

Jenama-jenama tersebut termasuk Bonlife, GoHerb, Zen Night, Sleepin’ Beaute, EZ, Beyoute, Zen Youte dan Zenliv.

 

ARTIKEL BERKAITAN: OB Holdings dapat kelulusan terbitkan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia, sasar penyenaraian 4Q24

 

Kumpulan ini telah mengembangkan tawarannya dengan menyediakan perkhidmatan pembungkusan kontrak untuk serbuk susu, daun teh, madu, serbuk herba, serbuk buah dan klorofil cecair ke dalam saiz pembungkusan runcit. 

 

Selain itu, Kumpulan juga terlibat dalam perdagangan serbuk susu dan aktiviti-aktiviti lain.

 

Kumpulan memberi keutamaan kepada piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi untuk produk makanan dan minuman serta suplemen dietnya. 

 

Perkhidmatan pembuatan dan pematuhan produknya menerima akreditasi dengan pelbagai pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015, pensijilan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), pensijilan Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan pensijilan Certified Organic Pty Ltd NASAA. 

 

Kilang pembuatan Kumpulan memenuhi keperluan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan kemudahan tersebut juga mematuhi peraturan halal, menjadikan Kumpulan ini berdaya saing untuk melayani komuniti yang lebih luas.

 

Pengarah Urusan OB Holdings, Teoh Eng Sia berkata, perjanjian ini membawa selangkah lebih dekat untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities. 

 

Katanya, pencapaian ini akan meningkatkan kehadiran OB Holdings di pasaran, memperkukuh reputasi dan membuka peluang pertumbuhan baharu.

 

“Kami telah memulakan pembinaan kilang baharu di Serendah, Selangor untuk mengoptimumkan kecekapan operasi kami. Pengembangan ini juga akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti pembuatan dan pembangunan produk dengan memperkenalkan mesin dan makmal baharu.

 

“Kami melihat potensi pertumbuhan yang didorong oleh beberapa trend utama. Peningkatan penyakit tidak berjangkit dan berjangkit meningkatkan kesedaran kesihatan, menyebabkan permintaan yang lebih besar untuk makanan dan minuman yang diperkaya serta suplemen diet. 

 

"Trend ini diperkuatkan lagi oleh urbanisasi, populasi yang semakin tua dan pengaruh pemasaran media sosial yang berkembang, yang secara berkesan mempromosikan manfaat produk-produk berkaitan kesihatan ini,” tambahnya.

 

OB Holdings dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada suku tahun keempat 2024, dengan Alliance Islamic sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Tunggal dan Ejen Penempatan untuk urusan IPO ini. - DagangNews.com