Baker Hughes, C3 AI jalin kerjasama dengan Petronas | DagangNews Skip to main content

Baker Hughes, C3 AI jalin kerjasama dengan Petronas

Baker Hughes

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Syarikat penyelesaian teknologi tenaga, Baker Hughes (BKR) dan syarikat penyedia perisian AI terkemuka, C3 AI Inc. (AI) menjalinkan kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

 

Kerjasama itu dibuat adalah untuk menggunakan teknologi BakerHughesC3.ai (BHC3) bagi program transformasi digital Petronas.

 

Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Samsudin Miskon berkata, Petronas komited untuk mempercepatkan transformasi digital yang mampu meningkatkan produktiviti, keberkesanan, kebolehlihatan, keselamatan dan prestasi secara menyeluruh.

 

"Kebijaksanaan jangkaan oleh AI adalah sangat  penting untuk memenuhi keperluan ini, dan ia hanya boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan penggunaan AI untuk memberikan hasil yang pantas dan bernilai," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penggunaan teknologi AI tersebut merupakan sebahagian daripada program transformasi digital untuk meningkatkan produktiviti, integriti aset, dan keselamatan, serta menekankan komitmen Petronas dalam menyediakan penyelesaian tenaga bersih dan efisien dengan memanfaatkan kuasa teknologi.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Serantau, Kerjasama dan Perniagaan di Baker Hughes, Uwem Ukpong memberitahu, program tersebut meneruskan jalinan erat antara Baker Hughes dan Petronas untuk memacu produktiviti dan efisiensi tenaga yang lebih bersih dan lebih selamat.

 

"AI memainkan peranan penting dalam program transformasi digital yang menghubungkan keperluan tenaga hari ini dengan peralihan tenaga untuk masa hadapan. 

 

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan PETRONAS kearah transformasi digital dan menggunakan kuasa AI untuk perniagaan secara menyeluruh," tambahnya.

 

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Teknologi C3 AI, Ed Abbo pula berkata, pemilihan teknologi BHC3 oleh Petronas daripada Baker Hughes dan C3 AI menunjukkan program transformasi digital yang pantas, kearah menyampaikan tenaga yang lebih bersih secara strategik.

 

"Dengan kepakaran teknologi tenaga yang mendalam oleh Baker Hughes, dan teknologi AI C3 AI yang telah dibangunkan sejak 10 tahun lalu, ia mampu membantu para pemimpin untuk mengguna pakai AI sebagai teknologi digital yang boleh mentransformai industri tenaga," ujarnya. - DagangNews.com