Bandaraya Ipoh rangka matlamat sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027 | DagangNews Skip to main content

Bandaraya Ipoh rangka matlamat sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027

Pengasas Konsep Ekonomi Donat, Profesor Kate Raworth berucap pada Bengkel Doughnut Economic: Remaking the Future of Cities di Ipoh, baru-baru ini.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 26 Ogos - Bandaraya Ipoh kini berada pada landasan untuk melaksanakan rangka kerja mencapai matlamat projek rintis menjadikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027.

 

Prinsip ekonomi donat ini digunakan untuk mengubah cara menilai persaingan ekonomi sambil mempertimbangkan kesannya terhadap persekitaran perbandaran.

 

Konsep ini dikembangkan oleh Profesor Kate Raworth, pakar ekonomi dari Universiti Oxford pada tahun 2012. 

 

Model ini juga berfungsi sebagai kerangka untuk pembangunan mampan dengan mengintegrasikan konsep sempadan persekitaran dengan konsep pelengkap kesejahteraan sosial serta ekonomi.

 

Sehubungan itu, penganjuran Bengkel Doughnut Economic: Remaking the Future of Cities baru-baru ini akan menjadi permulaan gerak kerja kepada agenda pelaksanaan tersebut.

 

Profesor Kate Raworth hadir bagi mengendalikan bengkel berkenaan.

 

Turut hadir pada bengkel tersebut ialah wakil-wakil daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kuala Kangsar,  Majlis Daerah Perak Tengah dan Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).


 

Ipoh
Dato' Rumaizi Baharin (tengah) bersama pegawai-pegawai kanan MBI semasa membincangkan tentang perancangan ekonomi semasa bengkel tersebut.

 


Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bengkel ekonomi berkenaan merupakan anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.

 

Menurut beliau, sebelum ini dalam pelan Perak Sejahtera 2030 turut digariskan Program Flagship, Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027.

 

"Menerusi pelan itu turut dinyatakan pengiktirafan Ipoh sebagai bandar ekonomi donat pertama di rantau Asia.

 

"Ia meletakkan negeri Perak seiring dengan negara peneraju kelestarian alam sejagat dalam merancang dan melaksanakan pembangunan sosioekonomi," ujarnya semasa ditemui.


 

Ipoh
Sebahagian daripada tetamu dan para peserta yang hadir pada penganjuran bengkel tersebut bagi mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027.

 


Jelas Rumaizi lagi, jaringan yang bakal terjalin menerusi pengiktirafan ini boleh dimanfaatkan untuk penjenamaan dan pemerkasaan negeri secara inklusif.

 

"Dalam beberapa analisis pakar ekonomi dan juga media melaporkan, konsep ekonomi donat lambat-laun sudah mulai dilaksanakan dalam skala perbandaran. 

 

"Sebelum ini, Amsterdam mengumumkan menggunakan model itu untuk memperbaiki ekonomi pasca Covid-19 melalui perencanaan ekonomi di bandar berkenaan," ujarnya.

 

Berdasarkan kajian sehingga di tahun 2018, terdapat kira-kira 150 negara menerapkan prinsip ini yang disifatkan sebagai gagasan baru ekonomi. - DagangNews.com