Banjir: Lebih 200,000 gesa henti aktiviti pembalakan | DagangNews Skip to main content

Banjir: Lebih 200,000 gesa henti aktiviti pembalakan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 6 Jan -  Lebih 200,000 individu menandatangani petisyen bantahan terhadap aktiviti pembalakan yang berleluasa sehingga memusnahkan alam dan mengakibatkan banyak bencana di negara ini.

 

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) melaksanakan petisyen dalam talian menggesa pihak kerajaan mengenakan moratorium dan pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini.

 

Jelasnya, perubahan iklim yang melanda adalah akibat daripada kerosakan serta kemusnahan alam dilakukan pihak tidak bertanggungjawab khususnya menerusi aktiviti pembalakan yang berleluasa.

 

"Bencana yang berlaku di luar jangka ini punya berkait rapat dengan situasi perubahan iklim yang berlaku.

 

"Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku sekarang dengan keadaan ketidakboleh jangkaan berlakunya sesuatu musim mengikut masa kebiasaan.

 

"Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Muhammad Faisal, hutan adalah kaedah paling murah dan berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim.

 

"Hutan amat berkesan dengan memerangkap karbon dioksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim," katanya.

 

Katanya, ABIM menyambut baik arahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang tiga hari lalu bagi menangguhkan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengankutan kayu balak.

 

"Arahan ini seharusnya diikuti pihak berkuasa di negeri-negeri lain seluruh negara bagi memastikan usaha memelihara alam dapat dijayakan secara holistik dan berkesan," katanya. - DagangNews.com