Banjir: Peperiksaan SPM untuk 708 calon di Kelantan esok, lusa ditangguh | DagangNews Skip to main content

Banjir: Peperiksaan SPM untuk 708 calon di Kelantan esok, lusa ditangguh

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan dua hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bermula esok, membabitkan 708 calon di 7 buah pusat peperiksaan di Kelantan yang terkesan akibat banjir.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pusat peperiksaan itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang (178 calon), SMK Gual Periok (74), SMK Baroh Pial (111), Maahad Muhammadi Rantau Panjang (115), Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Khairiah Banggol Setol (24), SMUA Al-Falah (45) dan SMK Meranti (161). 

 

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua 708 calon terbabit dibenarkan untuk menduduki semula peperiksaan itu pada sidang kedua yang akan berlangsung pada bulan April depan.

 

"Calon SPM yang berkenaan telah dihubungi pihak sekolah bagi memaklumkan situasi tersebut. 

 

"Sekiranya keadaan banjir lebih teruk dan ada pusat peperiksaan lain yang terpaksa ditutup atau ada calon yang perlu menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan alternatif, calon akan dihubungi oleh pihak sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Terdahulu, Dr. Radzi berada di Rantau Panjang, Kelantan bagi meninjau pusat-pusat peperiksaan SPM yang terjejas akibat banjir. 

 

 

kpm
Datuk Dr Radzi Jidin ketika melawat pusat peperiksaan SPM 2021 di Rantau Panjang, Kelantan yang terjejas banjir

 

 

Beliau berkata, Rantau Panjang merupakan satu daripada daerah di negeri itu yang teruk dilanda banjir selain beberapa daerah di Terengganu.

 

"Tinjauan turut dilakukan di SMK Sri Kiambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati yang masing-masing menjadi pusat peperiksaan kepada 144 dan 126 calon SPM 2021, bermula esok," katanya.

 

 

kpm

 

 

Katanya, memahami situasi semasa banjir, KPM juga memutuskan memberi kelonggaran pemakaian uniform sekolah untuk calon SPM 2021 yang dibenarkan memakai pakaian lain yang sopan dan bersesuaian.

 

"Saya juga ingin menasihatkan calon supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa di persekitaran dan segera memaklumkan kepada guru kelas, setiausaha peperiksaan atau pengetua masing-masing jika tidak boleh hadir bagi menduduki peperiksaan. 

 

 

kpm

 

 

"Ini akan memudahkan tindakan lanjut diambil, khususnya yang melibatkan penjadualan semula ujian atau perubahan pusat peperiksaan," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, semua pusat peperiksaan SPM di Terengganu beroperasi sepenuhnya esok. 

 

"Walaupun ada sekolah yang terkesan banjir, calon-calon SPM telah dipindahkan ke pusat-pusat peperiksaan alternatif yang diwujudkan.

 

 

kpm

 

 

"KPM menerusi Lembaga Peperiksaan sentiasa memantau rapi situasi banjir dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.

 

KPM komited memastikan kebajikan calon SPM yang terkesan dengan banjir diberi perhatian sebaiknya," katanya. - DagangNews.com