Bank ada ruang kurangkan OPR - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bank ada ruang kurangkan OPR - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Institusi perbankan dilihat masih mempunyai ruang untuk mengurangkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

Sepanjang tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan 4 kali kadar faedah sebanyak 125 mata asas kepada paras terendah setakat ini, 1.75%. 

 

Bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu selama 3 bulan yang menyaksikan ekonomi pada suku kedua menguncup 17.1%. 

 

Berbeza dengan PKP 2.0 kali ini, penganalisis melihat ia tidak seketat kali pertama ia dilaksanakan memandangkan hanya melibatkan 6 negeri dan ekonomi dapat beroperasi di sebalik perintah darurat sehingga 1 Ogos.  

 

Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yusof berkata, jika terdapat penurunan OPR, ia menunjukkan bank-bank dapat menampung dan akan memberi kesan yang minimum. 

 

"Ini disebabkan tiada persaingan deposit yang mungkin akan meningkatkan kos dana," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Bagaimanapun, buat masa ini, firma penyelidikan itu mengekalkan jangkaan yang BNM akan mengekalkan kadar OPR kerana PKP yang dilaksanakan tidak seteruk tahun lalu. 

 

"Kita perlu juga mengkaji jika transmisi penurunan OPR sebelum ini masih dapat memberi sokongan kepada ekonomi negara. 

 

"Pada pendapat kami, sebarang keputusan BNM adalah sejajar dengan matlamat kerajaan, iaitu untuk mengawal pandemik COVID-19 dan memastikan kelestarian ekonomi negara," jelas beliau. 

 

MIDF Research dalam laporan sebelum ini menganggarkan pelaksanaan PKP akan menurunkan 0.8% daripada pertumbuhan dan diunjur berkembang pada 6.2% berbanding 7%. 

 

Secara keseluruhan, kesemua negeri yang tertakluk di bawah PKP dan PKPB mentumbang hampir 90% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

 

Sementara itu, penganalisis DBS Group Research, Irvin Seah berkata, BNM akan mengurangkan lagi 25 mata asas menjadikan kadar OPR serendah 1.5%.

 

Katanya, penggunaan domestik akan paling terkesan dan kekal menjadi faktor utama yang mengheret turun pertumbuhan. 

 

"Kami berpendapat, langkah kerajaan ini akan menjejaskan KDNK negara, kira-kira 0.8% kepada 5.2%. Sebelum ini, kami mengunjurkan pertumbuhan 2021 pada 6%," katanya.  

 

UOB Global Economics & Markets Research dalam nota kajian turut menjangkakan Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) pada 19 hingga 20 Januari ini akan mengurangkan lagi 25 mata asas OPR. 

 

"Ini berdasarkan kepada prospek pertumbuhan global yang lemah, langkah-langkah sekatan semakin diperketatkan dan situasi pandemik COVID-19 yang semakin buruk. 

 

Menurut penganalisisnya, langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan wabak ini akan mengikis 1% daripada keseluruhan pertumbuhan 2020 dengan anggaran kerugian mencecah RM12 bilion. 

 

"Anggaran ini mengambil kira negeri-negeri yang tertakluk di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan jangkaan paling lama selama 4 minggu manakala sektor perniagaan utama beroperasi dengan 70% kapasiti.

 

"Bagi setiap 2 minggu PKP pula akan mengurangkan 0.4% daripada pertumbuhan ekonomi dengan kerugian diunjur RM5 bilion," katanya.

 

Firma itu menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini yang lebih rendah pada kadar 5% berbanding 6% sebelum ini. 

 

Sementara itu, Ketua Ekonomi (ASEAN dan Asia Selatan) Standard Chartered, Edward Lee Wee Kok berkata, BNM dijangka mengekalkan kadar tersebut memandangkan keyakinan bank pusat itu terhadap pemulihan pertumbuhan ekonomi di sebalik lonjakan jangkitan COVID-19 dan langkah-langkah sekatan. 

 

"Pada pandangan kami, pendirian BNM kekal tegas dengan unjuran pertumbuhan pada 6.5 hingga 7.5% tahun ini, justeru kami menjangkakan kadar itu akan dikekalkan dan memberi lebih fokus kepada pendekatan bersasar," katanya. 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebelum ini dilaporkan berkata, pertumbuhan yang dijana menerusi hutang adalah tidak mapan dan fokus sepatutnya diberikan kepada penstrukturan dasar. - DagangNews.com