Bank-bank Malaysia catat prestasi lebih baik pada 2Q 2024, didorong pinjaman isi rumah- RAM Ratings | DagangNews Skip to main content

Bank-bank Malaysia catat prestasi lebih baik pada 2Q 2024, didorong pinjaman isi rumah- RAM Ratings

KUALA LUMPUR 4 Sept - Bank-bank tempatan mencatatkan prestasi lebih baik pada suku kedua 2024 (2Q24), didorong oleh pemulihan sederhana margin faedah bersih (NIM) serta peruntukan lebih kecil.

 

RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) berkata, lapan kumpulan perbankan tempatan yang dinilai RAM mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi.

 

Menurut agensi penarafan itu, bank-bank berkenaan menyaksikan purata pulangan sebelum cukai aset mereka meningkat kepada 1.41% pada suku kedua 2024, daripada 1.37% pada suku pertama 2024 dan 1.39% pada suku kedua 2023.

 

Bank tersebut ialah AFFIN Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, AMMB Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, Public Bank Bhd dan RHB Bank Bhd.

 

Ketua Bersama Bahagian Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching berkata, bank-bank berjaya menguruskan kos pendanaan mereka secara aktif dengan menghapuskan deposit tinggi untuk meningkatkan margin.

 

“Oleh itu, purata NIM daripada lapan bank itu menyaksikan peningkatan sederhana namun menggalakkan iaitu dua mata asas (bps) suku ke suku kepada 2.05% pada suku kedua 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Yin Ching, pada separuh pertama 2024, pinjaman sistem perbankan meningkat 5.0% daripada 5.3% pada 2023, sejajar dengan unjuran setahun penuh.

 

Kata beliau, pinjaman isi rumah mendahului pertumbuhan, meningkat 5.2%, mengatasi sedikit pinjaman perniagaan (4.8%).

 

Pertumbuhan gadai janji kediaman – pemacu utama pinjaman isi rumah – menyederhana kepada 6.7% namun masih kukuh daripada 7.3% pada 2023 manakala pinjaman sewa beli kenderaan penumpang terus berkembang pesat, meningkat 9.6%.

 

“Lantunan semula pertumbuhan pinjaman perniagaan yang bermula pada akhir 2023 sebahagian besarnya terus kekal sehingga separuh pertama 2024, disokong oleh ekonomi asas yang kukuh,” jelasnya.

 

Selain itu, katanya, kualiti aset bank Malaysia yang teguh menyokong asas kredit mereka yang kukuh.

 

“Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem rendah pada 1.60% pada akhir Jun 2024 (akhir Disember 2023: 1.65%).

 

“Keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dengan kadar pengangguran kembali ke paras seperti sebelum pandemik sebanyak 3.3% akan membantu mengurangkan potensi kesan buruk daripada rasionalisasi subsidi.

 

“Kami mengunjurkan nisbah GIL berada antara 1.6% dan 1.7% menjelang akhir tahun,” ujar beliau.

 

Menurut Yin Ching, pada suku kedua 2024, nisbah kos kredit tahunan kelapan-lapan bank itu susut kepada 18 mata asas daripada 22 mata asas pada suku pertama 2024 dan 23 mata asas pada 2023.

 

“Liputan GIL (termasuk rizab kawal selia) yang berada pada purata 137 peratus, kekal lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik pada 107 peratus sehingga akhir 2019,” katanya. - DagangNews.com