Bank-bank sedia bantu pelanggan di kawasan PKPB dan PKPD | DagangNews Skip to main content

Bank-bank sedia bantu pelanggan di kawasan PKPB dan PKPD

Bank

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Susulan peningkatan kes COVID-19 di negara ini, bank-bank di Malaysia bersedia untuk memberi bantuan berbentuk pinjaman kepada pelanggan yang terlibat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Susulan itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dalam satu kenyataan bersama berkata, pelanggan yang terlibat di kedua-dua kawasan kawalan tersebut harus segera menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan bantuan.

"Bank-bank bersedia untuk memudahkan permohonan bantuan pembayaran balik untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan para peminjam dan pelanggan.

"Mereka (pelanggan dan peminjam) perlu menghubungi bank mereka melalui e-mel atau telefon jika mereka tidak dapat melakukan pertemuan secara bersemuka kerana sekatan pergerakan," jelas kedua-dua persatuan perbankan itu.

Mengulas berkaitan pengoperasian bank yang terletak di kawasan PKPB, kenyataan itu memberitahu, bank yang terlibat di kawasan PKPB akan terus beroperasi dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pelanggan di kawasan berkenaan juga dinasihati untuk memeriksa laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan waktu operasi atau peraturan perkhidmatan di kaunter.

"Mereka juga dapat terus melakukan urusan perbankan di semua terminal layan diri, seperti mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) yang terletak di kawasan PKPB.

"Peminjam atau pelanggan yang masih menghadapi kesukaran selepas berunding dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di [email protected] atau hubungi 1-300-88-5465 atau sebagai alternatif.

"Peminjam atau pelanggan juga boleh mendapatkan panduan dan memilih pilihan lain bagi mendapatkan bantuan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan menghubungi 03-2616-7766," tambah kedua-dua persatuan perbankan itu lagi.

Semalam, DagangNews.com melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020.

Perkara tersebut diputuskan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes` serta penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling, Gombak dan daerah-daerah lain.

Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh negeri Sabah berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam tadi hingga 26 Oktober 2020. - DagangNews.com