Bank bergerak di kawasan pedalaman Sarawak dilancar akhir Januari 2021 | DagangNews Skip to main content

Bank bergerak di kawasan pedalaman Sarawak dilancar akhir Januari 2021

Sarawak

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak yang dilengkapi dengan ATM ke beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak bakal dilancarkan pada akhir Januari 2021.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu adalah usaha Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan beberapa institusi perbankan.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) telah menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan beberapa institusi kewangan iaitu Agrobank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan RHB Bank untuk menyediakan Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak yang dilengkapi dengan ATM ke beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. 

 

"Inisiatif ini dijangka akan dilancarkan pada akhir bulan Januari 2021," katanya ketika menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding (PBB) dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

Jawapan tersebut diberi selepas Susan Chemerai Anding mengajukan soalan dan meminta beliau menyatakan perkhidmatan bank bergerak yang bakal diperluas di Sarawak dan bilakah tarikh pengoperasian perkhidmatan berkenaan.

 

Selain itu, Susan turut meminta beliau menyatakan kawasan yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan tersebut di Sarawak.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelbagai usaha yang berterusan dan saluran alternatif juga disediakan oleh institusi kewangan bagi menyokong dan meningkatkan penyampaian kemudahan asas perkhidmatan perbankan di Sarawak.

 

Usaha tersebut adalah termasuk pelantikan ejen bank.

 

"BNM juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan institusi-institusi kewangan untuk memperluaskan kemudahan perkhidmatan perbankan, terutamanya kepada golongan masyarakat yang menetap di kawasan luar bandar.

 

"Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah menggalakkan pembangunan saluran hantaran kewangan yang berasaskan teknologi, seperti perbankan internet dan mudah alih serta e-dompet, di mana transaksi perbankan boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja," tambah beliau lagi. - DagangNews.com