KUALA LUMPUR 29 Sept. - Susulan penguncupan lebih ketara berbanding jangkaan pada suku kedua 2020, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada -4.9%, lebih rendah daripada unjuran awal pada -3.1%.
Menerusi kenyataan hari ini, Bank Dunia berkata perubahan unjuran itu menunjukkan ketidaktentuan yang menyelubungi kadar kepantasan dan permulaan pemulihan ekonomi global adalah meningkat, yang akan mempengaruhi keputusan pelaburan dan permintaan luaran.
Selain itu, peningkatan kadar pengangguran dan kelemahan lain dalam pasaran buruh akan terus menjejaskan penggunaan swasta, menurutnya.
Bank Dunia berkata berikutan penutupan sementara kebanyakan ekonomi dan kekurangan operasi perniagaan, pasaran buruh amat terjejas, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1% pada suku kedua 2020, angka tertinggi dalam tempoh 30 tahun.
Penyertaan tenaga buruh susut kepada 68.1% pada suku kedua 2020 daripada 68.8% pada suku pertama dan ramai pekerja menghadapi tempoh kerja lebih singkat dan pengurangan gaji.
“Berdasarkan perkembangan ini, kebanyakan komponen permintaan, seperti eksport bersih, penggunaan swasta dan pelaburan swasta diunjurkan berkurangan pada 2020,” menurut Bank Dunia susulan pelancaran laporan ‘From Containment to Recovery: Economic Update for East Asia and the Pacific, October 2020’, kata laporan Bernama.
Ekonomi Malaysia terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19, sehingga mencatatkan penguncupan dua digit 17.1% pada suku kedua 2020 susulan kekurangan permintaan domestik apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan untuk membendung jangkitan selain situasi luaran yang turut lemah.
Bank Dunia berkata perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat, terutama disebabkan perbelanjaan pakej rangsangan.
Sementara itu, kemiskinan bagi Garis Kemiskinan Kelas Pendapatan Pertengahan Atas iaitu US$5.50 sehari (berdasarkan Pariti Kuasa Beli 2011 dolar) dijangka meningkat sedikit kepada 0.9% daripada 0.8% pada 2020.
Bank Dunia berkata peningkatan ini disebabkan oleh kadar pengangguran lebih tinggi, tempoh bekerja disingkatkan dan aktiviti perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih perlahan.
Ini berlaku walaupun kesan penguncupan telah diimbangi menerusi beberapa langkah bantuan dan pemulihan oleh kerajaan, yang mengurangkan impak ke atas penggunaan swasta.
“Kadar Kemiskinan Pariti Kuasa Beli 2011 pada US$5.50 sehari dijangka susut kepada 0.6% pada 2021 dan 0.5% pada 2022,” menurutnya. - DagangNews.com