Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Nov - Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM627.8 juta bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 (9M21), meningkat 19.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh peruntukan bersih lebih rendah bagi pembiayaan dan pendahuluan yang terjejas, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Peruntukan bersih yang dikenakan bagi pembiayaan dan pendahuluan terjejas bernilai RM79.6 juta bagi 9M21 adalah RM132.7 juta lebih rendah berbanding RM212.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Unjuran peruntukan terjejas yang lebih tinggi telah dibuat dalam bentuk overlay pengurusan bagi tempoh sama tahun sebelumnya sebagai persediaan untuk keadaan ekonomi lebih buruk ekoran pandemik COVID-19.
Keputusan 9M21 mencerminkan kenaikan 17.71 sen pendapatan sesaham (EPS) kumpulan dan Pulangan Ekuiti Tahunan sebanyak 9.4% selepas cukai dan zakat.
Bagi tempoh itu juga, Lembaga Pengarah BIMB mengisytiharkan dividen interim satu peringkat berjumlah RM226.9 juta atau 10.93 sen setiap saham biasa. DRP diguna pakai bagi keseluruhan dividen interim satu peringkat tersebut.
Jumlah aset kumpulan mengukuh tahun ke tahun sebanyak 9.8% untuk berada pada RM76.3 bilion setakat 30 September 2021, manakala aset bersih sesaham berada pada kedudukan RM3.13.
Pembiayaan kasar meningkat sebanyak 3.9% tahun ke tahun kepada RM56.9 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM64.4 bilion dengan peningkatan tahun ke tahun RM5.5 bilion atau 9.3%.
Mengulas mengenai prestasi kewangan BIMB, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pandemik COVID-19 dan cabarannya terus memberi impak kepada semua sektor ekonomi, tetapi risiko pada kestabilan kewangan masih terkawal.
Tambahan pula, katanya, bank-bank telah menyediakan unjuran peruntukan yang berpatutan pada tahun kewangan 2020, dan risiko kredit telah ditetapkan secukupnya oleh pasaran.
“Penganalisis juga telah mengekalkan sasaran pertumbuhan pembiayaan industri bagi tahun ini sebanyak 3% hingga 4% setakat ini memandangkan jangkaan pemulihan dilihat positif terhadap permintaan pembiayaan bagi suku keempat 2021.
"Walaupun kadar purata pembiayaan susut 3 mata asas, margin keuntungan bersih dijangka menerima sedikit tekanan, dipengaruhi oleh persaingan sengit deposit dan ruang terhad perluasan akaun semasa dan simpanan (CASA)," katanya.
Menurut beliau, tahun 2022 akan menjadi tahun yang penting buat Malaysia, bukan sahaja daripada perspektif pemulihan ekonomi tetapi juga kebangkitan semula industri, kehidupan dan pekerjaan, khasnya kepada mereka yang paling terkesan disebabkan pandemik ini.
Sebagai sebuah bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua dengan menyediakan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pemegang taruh, BIMB kini sedang melaksanakan pelan perniagaan strategik 5 tahun (LEAP25).
"Misi kami adalah untuk merancang masa depan kumpulan dalam menjadi peneraju penyelesaian pembiayaan lengkap Syariah-ESG dengan kepimpinan dalam perbankan dan kewangan sosial,” jelas beliau. - DagangNews.com