Bank Islam kali ke-2 diiktiraf Cambridge IFA | DagangNews Skip to main content

Bank Islam kali ke-2 diiktiraf Cambridge IFA

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bank Islam Malaysia Berhad diiktiraf sebagai Bank Runcit Islam Paling Kukuh di Malaysia bagi 2020 buat kali kedua selepas 2015 oleh Cambridge International Financial Advisory (Cambridge IFA). 

 

Pengiktirafan ini adalah sempena Anugerah Perbankan Runcit Islam ke-6 yang diadakan secara dalam talian pada 15 Disember lalu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, anugerah tersebut menunjukkan kesediaan Bank Islam untuk menjadi institusi perbankan islam pertama dan satu-satunya yang tersenarai di Malaysia dan rantau ini. 

 

"Oleh itu, kami akan terus berinovasi dan memberi penyelesaian kewangan yang komprehensif dengan memanfaatkan kemajuan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan portfolio pelanggan yang pelbagai," katanya dalam kenyataan.  

 

Keputusan pemenang adalah berdasarkan kajian kecekapan perbankan Islam yang dijalankan oleh Cambridge IFA, yang menilai lebih daripada 130 bank runcit Islam.

bank islam
Bank Islam diiktiraf sebagai Bank Runcit Islam Paling Kukuh di Malaysia bagi 2020 buat kali kedua selepas memenanginya kali pertama pada 2015.

 

Anugerah itu yang dianjurkan Cambridge IFA, merupakan sebuah institusi risikan kewangan yang berpusat di United Kingdom dengan peranannya adalah untuk mengetengah, mengiktiraf kisah kejayaan, sama ada institusi dan individu, dalam sektor perbankan runcit Islam.

 

Sejak ditubuhkan pada 1983, Bank Islam bermula dengan hanya 30 kakitangan dan 4 cawangan, dan kemudiannya berkembang kepada 144 cawangan dengan lebih daripada 4,600 kakitangan. Bank Islam kini mempunyai lebih 4.3 juta pelanggan. 

 

Dalam tempoh selama 37 tahun, Bank Islam menunjukkan banyak pencapaian termasuk penerbitan Sukuk Islam pertama di Malaysia dan penglibatan dalam pendigitalan sistem kehakiman Malaysia dengan menyediakan proses jaminan melalui kemudahan eJamin. 

 

Terbaharu, adalah pelancaran kemudahan pembiayaan mikro BangKIT yang dibiayai oleh sedekah (derma), yang juga merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini. 

 

Pada 2018, Bank Islam melancarkan pelan strategi 3 tahun yang memberi tumpuan kepada inisiatif perbankan digital kami.

 

Menurut Mohd. Muazzam, pelan itu dirancang tepat pada masanya kerana pandemik COVID-19 tidak hanya mengubah cara berurus niaga tetapi mempercepat perjalanan digital kerana lebih banyak pelanggan bergantung pada teknologi digital untuk berurus niaga.

 

"Aplikasi perbankan mudah alih kami, GO by Bank Islam telah menunjukkan kemajuan luar biasa dalam jangka masa singkat apabila lebih 500,000 pengguna dengan 50% purata pertumbuhan penggunaan sejak Mac 2020 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. 

 

"Antara Mac hingga September 2020, ia telah merekodkan jumlah transaksi melebihi RM2.4 bilion melalui aplikasi ini," katanya. - DagangNews.com