Bank Islam lancar Pelan Antirasuah Organisasi 2022-2025 pertamanya | DagangNews Skip to main content

Bank Islam lancar Pelan Antirasuah Organisasi 2022-2025 pertamanya

Tan Sri Dr Ismail Bakar (dua dari kanan) menyerahkan Buku Pelan Antirasuah Organisasi (2022-2025) Bank Islam kepada Datuk Izani Wan Ishak pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bank Islam Malaysia Berhad melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022-2025 sulungnya bagi mencerminkan komitmen berterusan bagi memastikan tadbir urus dan nilai integriti yang tinggi dalam perniagaannya.

 

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, OACP itu adalah strategi tiga tahun untuk mengukuhkan aspek tadbir urus, integriti dan kawalan antirasuahnya dengan pendekatan ‘toleransi sifar’ terhadap sebarang bentuk rasuah.

 

Katanya, sebagai organisasi yang secara langsung menguruskan amanah pelanggan, Bank Islam peka bahawa kredibilitinya bergantung pada ketelusan, kecekapan dan etika perniagaan.

 

"Oleh itu, Bank Islam akan sentiasa mengikuti perkembangan pengurusan risiko integriti dan mengambil langkah untuk mencegah sebarang tingkah laku tidak beretika, terutamanya rasuah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis perasmian itu dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Izani Wan Ishak; Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

 

Jabatan Integriti dan Tadbir Urus, di bawah Bahagian Pematuhan Kumpulan Bank Islam akan menyelia aspek pemantauan dan penilaian inisiatif dan pelan tindakan OACP untuk memastikan kejayaannya. - DagangNews.com