Bank Islam perluas BangKIT kepada usahawan belia | DagangNews Skip to main content

Bank Islam perluas BangKIT kepada usahawan belia

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (dua dari kiri)  dan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Ts. Dr. Noor Azizi  Ismail (dua dari kanan) selepas menandatangani MoU antara Bank Islam dan UMK, baru-baru ini.

 

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Bank Islam Malaysia Berhad memperluaskan kemudahan pembiayaan mikro BangKIT kepada segmen usahawan siswa dan belia bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan, selain menyokong kelangsungan dan perkembangan perniagaan yang sedia ada.

 

Usaha tersebut melibatkan perjanjian usaha sama strategik antara Bank Islam dengan dua Rakan Pelaksana baharu iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini.

 

Dilancarkan pada 25 November 2020, kemudahan pembiayaan mikro BangKIT memanfaatkan sumbangan atau sedekah yang diterima daripada masyarakat umum atau organisasi melalui Dana Kekal platform pendanaan awam Bank Islam, Sadaqa House, bagi membantu usahawan mikro yang layak. 

 

Penerima kemudahan pembiayaan ini akan turut diberi latihan dan bimbingan perniagaan secara praktikal yang dijalankan oleh Rakan Pelaksana bagi memastikan pertumbuhan dan kemapanan perniagaan yang diusahakan.

 

Menerusi sinergi berimpak tinggi dengan rakan pelaksana lain, BangKIT juga membimbing usahawan mikro yang sebelum ini tidak mendapat perkhidmatan perbankan (unbankable) untuk menjadi kumpulan pelanggan yang layak mendapat perkhidmatan perbankan (bankable).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, menerusi penyediaan kemudahan ini, Bank Islam bukan sahaja dapat membantu usahawan muda, tetapi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran mereka agar berdaya tahan, inovatif dan bersaing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

Katanya, usaha ini diharapkan dapat memberi motivasi dan memperkukuhkan ekonomi kehidupan usahawan siswa dan belia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan.

 

"Harapan kami agar kemudahan kewangan sosial ini dapat melahirkan usahawan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada kemakmuran masyarakat setempat. 

 

"Kami juga bersedia untuk bekerjasama dengan lebih banyak universiti awam dan swasta bagi usaha ini,” katanya dalam kenyataan.

 

Bank Islam sebelum ini telah menyantuni golongan usahawan mikro wanita untuk menawarkan kemudahan BangKIT menerusi jalinan kerjasama dengan beberapa Rakan Pelaksana seperti People Systems Consultancy, MADCAT World dan Noble Management & Consultancy. 

 

Pembiayaan Mikro BangKIT ditawarkan di bawah kontrak Qard (pinjaman tanpa faedah). Ia menyediakan pembiayaan serendah RM500 hingga RM3,000 bagi perniagaan baharu dan RM3,000 sehingga RM20,000 bagi tujuan pengembangan perniagaan. Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah di antara 6 bulan sehingga 3 tahun.

 

Bank Islam akan mempergiatkan lagi usaha untuk membantu sektor keusahawanan siswa dan belia dengan bekerjasama Rakan Pelaksana daripada beberapa institusi pengajian tinggi lain pada masa akan datang. - DagangNews.com