Bank Islam pilih Amazon Web Services sebagai pembekal teknologi awan untuk transformasi digital | DagangNews Skip to main content

Bank Islam pilih Amazon Web Services sebagai pembekal teknologi awan untuk transformasi digital

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bank Islam Malaysia Berhad memilih Amazon Web Services (AWS) sebagai pembekal teknologi awam untuk memacu transformasi digital syarikat itu.

 

Bank Islam akan menggunakan keluasan dan keupayaan awan AWS, termasuk bekas, rangkaian dan penghantaran kandungan, untuk membina bank digital Be U bagi membantu pelanggan mengurus kewangan mereka dengan lebih baik.

 

Bank itu akan membangunkan Be U melalui Pusat Pengalaman Digitalnya (CDX), bahagian bebas yang membangunkan perkhidmatan perbankan baharu di AWS untuk mengubah pengalaman pelanggan.

 

Pengarah Urusan AWS ASEAN, Conor McNamara berkata, bank dari semua saiz di seluruh Asia Tenggara menggunakan teknologi awan untuk memacu rangkuman kewangan, menggunakan model perniagaan yang sesuai untuk menarik pelanggan dalam menghadapi persaingan bank digital baharu dan memastikan mereka boleh perkhidmatan terbaik.

 

“Di Malaysia, Bank Islam adalah contoh yang baik.

 

“Bekerja dengan AWS memberikan Bank Islam akses kepada portfolio perkhidmatan awan yang tiada tandingan, dengan tahap keselamatan tertinggi, supaya mereka boleh menyampaikan penyelesaian pelanggan intuitif dengan cepat, selamat dan pada skala yang tepat,” katanya.

 

aws
Conor McNamara

 

Bank Islam mempunyai lebih 5 juta pelanggan yang semakin menuntut perkhidmatan perbankan digital baharu dan inovatif untuk mengurus kewangan mereka dengan lebih baik, termasuk pembayaran kod respons pantas (QR), dan pembiayaan rantaian bekalan automatik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Sebelum penubuhan CDX, bank itu mengambil masa lebih setahun untuk menggunakan perkhidmatan kewangan baharu menggunakan infrastruktur di premisnya.

 

Peralihan kepada AWS, membolehkan Bank Islam membangunkan perkhidmatan kewangan digital baharu, termasuk aplikasi, kad debit dan kemudahan pembiayaan, dalam beberapa minggu sahaja, untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

 

Menerusi penggunaan AWS, CDX juga memperoleh ketangkasan untuk berinovasi dengan pantas untuk menjadi lebih mengutamakan pelanggan dengan kos yang lebih rendah, sambil mematuhi keperluan kawalan keselamatan dan pematuhan bank yang ketat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, AWS memberikan bank keupayaan untuk berinovasi dan melancarkan perkhidmatan kewangan digital baharu dengan pantas yang bermakna kepada kesihatan kewangan dan kesejahteraan pelanggannya.

 

“Kami memilih AWS sebagai penyedia awan pilihan kami untuk mendapat manfaat daripada tahap keselamatan dan pematuhan tertinggi, tanpa mengorbankan kelajuan inovasi.

 

“Kami dapat membangunkan prototaip untuk bank digital Be U kami dalam masa tiga bulan sahaja dengan AWS, dan kami kini boleh meneroka perkhidmatan awan termaju, seperti pembelajaran mesin, untuk membangunkan rangka kerja kredit alternatif bagi meluaskan akses kepada pelanggan yang mungkin menghadapi kesukaran. mendapatkan talian kredit," katanya. - DagangNews.com