Bank Islam rai 9 pemenang Cabutan Bertuah Kempen Al-Awfar | DagangNews Skip to main content

Bank Islam rai 9 pemenang Cabutan Bertuah Kempen Al-Awfar

: Ketua Pegawai Perniagaan - Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram (tengah) bersama hadiah cabutan khas Kempen Al-Awfar 2022, sebuah BMW 320i dan pemenangnya, Sharibanun Yahaya (kiri).
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Feb - Bank Islam Malaysia Berhad meraikan sembilan pemenang bertuah kempen Al-Awfar dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur hari ini.

 

Seorang pemenang hadiah Cabutan Utama membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta, manakala lima pemenang Cabutan Khas masing-masing memandu pulang kereta mewah BMW 302i dan empat Honda CR-V.

 

Selain itu, seorang pemenang kategori Junior Grand Prize dihadiahkan sebuah Macbook Pro dan dua pemenang lain menerima wang tunai berjumlah RM100,000 dan RM50,000.

 

Al-Awfar merupakan satu akaun pelaburan inovatif berasaskan konsep Mudarabah yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi pelbagai hadiah wang tunai dan ganjaran menarik yang bernilai lebih RM15 juta setahun.

 

 

bimb
Para pemenang cabutan bertuah Kempen Al-Awfar 2022 bersama barisan pengurusan Bank Islam pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Februari 2023.

 

 

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Ketua Pegawai Perniagaan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff.

 

Mizan berkata, “Setelah 14 tahun berada di pasaran, Al-Awfar menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan merekodkan saiz dana berjumlah lebih RM5 bilion menerusi 1.02 juta akaun.”

 

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada pelanggan yang menyokong dan mempercayai Bank Islam dalam menguruskan kepentingan kewangan mereka. Kempen Al-Awfar ini menzahirkan penghargaan kami atas kesetiaan pelanggan terhadap Bank Islam,” tambahnya.

 

Sejak tahun 2009, seramai 38 orang pelanggan telah menerima gelaran Jutawan Al-Awfar dengan meraih hadiah utama bernilai RM1 juta setiap seorang.

 

Selain itu, mulai 2019, Bank Islam telah meningkatkan ganjaran kemenangan peluang kepada lebih 10,000 pelanggan dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk kereta, pakej umrah atau percutian, wang tunai dan gajet.


 

bimb
Ketua Pegawai Perniagaan-Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram (tiga dari kanan) bersama para pemenang cabutan khas Kempen Al-Awfar 2022.

 

 

Al-Awfar merekodkan pertumbuhan sebanyak 77 peratus yang melibatkan RM2 bilion sejak penstrukturannya pada tahun 2019.

 

Melihat kepada pertumbuhan tersebut dan sejajar dengan peredaran masa serta perkembangan teknologi, Al-Awfar akan diberi nafas baru.

 

“Insya-Allah, penstrukturan dan cabutan baru Al-Awfar akan dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-40 Bank Islam pada Julai ini” katanya.

 

bimb


 

Kempen Al-Awfar yang dijalankan sebelum ini turut merekodkan peningkatan dana yang kukuh. Melalui sokongan terhadap kempen Do-IT & WIN, sebanyak hampir 11,800 akaun dibuka dengan jumlah RM5 juta direkodkan sepanjang Februari sehingga Ogos 2022.

 

Selain itu, kempen TRUGOLD, yang berlangsung pada April sehingga September 2022, telah menarik hampir 16,800 akaun baharu dengan nilai lebih RM405 juta. Kempen ELITE 3.0 yang berlangsung pada Mac sehingga Disember 2022 pula berjaya merekodkan hampir 20,500 akaun baharu bernilai lebih RM373 juta.

 

Kempen DEPOSIT & INVESTMENT yang turut diadakan pada September sehingga Disember 2022 telah menarik minat hampir 18,000 pemegang akaun baharu dengan melibatkan lebih RM1 bilion.

 

Sebagai usaha untuk mengelakkan penipuan atau scam, Bank Islam akan menghebahkan senarai nama pemenang bertuah cabutan Al-Awfar melalui akaun rasmi Facebook Bank Islam dan laman web Bank Islam di www.bankislam.com. Selain itu, wakil dari cawangan berhampiran dengan pemenang akan menghubungi individu yang terpilih.

 

Maklumat lanjut berkenaan kempen Al-Awfar dan cara-cara untuk menjadi salah seorang pemenang hadiah utama bernilai RM1 juta boleh dirujuk di laman web Bank Islam, www.bankislam.com dan laman media sosial rasmi Bank Islam. - DagangNews.com