Bank Islam salur bantuan RM400,000 untuk mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Bank Islam salur bantuan RM400,000 untuk mangsa banjir

 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Bank Islam Malaysia Berhad akan menyalurkan dana berjumlah RM400,000 daripada platform pendanaan awam Islamnya, Sadaqa House, untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana banjir di negeri-negeri terkesan.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, selain menawarkan kemudahan moratorium kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir, pihaknya juga mengambil keputusan menggandakan usaha dengan memperuntukkan sumbangan daripada inisiatif kewangan sosial Islam yang diperolehi melalui Sadaqa House. 

 

Katanya, ini bagi memastikan dana sokongan dan bantuan yang signifikan dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terkesan.
 

"Usaha ini juga secara tidak langsung mencerminkan yang institusi perbankan Islam sentiasa mengamalkan konsep perkongsian rezeki dan peranan instrumen kewangan sosial Islam seperti sedekah, zakat dan wakaf mempunyai kelebihan dalam memainkan peranan penting untuk membantu menjaga kebajikan sosioekonomi ummah," katanya dalam kenyataan.

 

Selain itu, Bank Islam juga akan menyalurkan RM100,000 daripada jumlah dana kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah yang kini sedang giat menjalankan aktiviti-aktiviti membantu mereka yang kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara.

 

Dana misi bantuan kemanusiaan dan bencana Bank Islam merangkumi sokongan bantuan langsung seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, kelengkapan asas mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta pembelian peralatan-peralatan kebersihan bagi menghadapi keadaan pascabanjir.

 

Bank Islam menjalin hubungan strategik dengan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

 

Di samping itu, ia turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Yayasan Food Bank Malaysia, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) dan Mercy Malaysia untuk penyaluran bantuan ini.

 

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Sadaqa House Bank Islam di nombor 140-140-101-88888 atau melayari laman sesawang Sadaqa House di www.sadaqahouse.com.my. - DagangNews.com