KUALA LUMPUR 19 Julai - Bank Islam Malaysia Bhd melalui ejen debit langsung (direct debit) yang dilantiknya, InfaqPay, kini menawarkan perkhidmatan e-Mandate, sebuah platform pungutan pembayaran berulang.
Penyelesaian baharu ini bakal memudahkan pelanggan yang berdaftar sebagai saudagar (merchant) dengan InfaqPay untuk menguruskan proses pungutan pembayaran berulang seperti bil utiliti, premium insurans, keahlian persatuan dan zakat serta derma secara terus daripada akaun mengikut jadual yang ditetapkan.
Kemudahan baharu ini tersedia untuk pelbagai segmen, meliputi badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kelab, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, masjid serta sekolah, katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata melalui e-Mandate, pengurusan pembayaran secara berulang dikendalikan oleh saudagar terlibat secara terus, menjadikan kaedah ini satu pilihan yang lebih mudah, selamat, mesra pengguna serta menjimatkan masa dan tenaga.
Sejak diperkenalkan di pasaran pada 27 April 2021, InfaqPay kini mempunyai 20 saudagar yang berdaftar dengan lebih 3,000 transaksi disempurnakan setakat ini.
Bank Islam menyasarkan untuk mengumpul 40 saudagar baharu dan mencapai 30,000 transaksi menjelang akhir 2021 menerusi usaha-usaha agresif dalam mempromosikan e-Mandate di pasaran.
Mohd Muazzam berkata, bagi memperluaskan lagi perkhidmatan e-Mandate kepada semua segmen, bank berkenaan telah bersedia untuk bekerjasama dengan lebih ramai ejen debit langsung di seluruh negara.
Hubungi Jabatan Deposit dan Tunai Bank Islam di 03-2690 0900 / 016-9000 755 atau emel ke salam@infaqpay.my untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan e-Mandate atau ingin mendaftar sebagai saudagar. - DagangNews.com