Sektor pengguna dijangka catat pertumbuhan 4% pada 2025 disokong peningkatan pendapatan boleh guna, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Sektor pengguna dijangka catat pertumbuhan 4% pada 2025 disokong peningkatan pendapatan boleh guna, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - Sektor pengguna dijangka mencatatkan pertumbuhan 4% pada 2025 disokong kehadiran pelancong antarabangsa dan peningkatan pendapatan boleh guna didorong kenaikan gaji kakitangan awam serta pelarasan gaji minimum, kata Kenanga Research.

 

Katanya, rangsangan dalam pendapatan boleh guna daripada kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13% (mulai Disember 2024) dan kenaikan gaji minimum (bermula Februari 2025) menyediakan asas kukuh untuk perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelarasan gaji kakitangan awam sahaja, melibatkan lebih daripada RM10 bilion, bersamaan dengan kira-kira 1% hingga 2% daripada jumlah perdagangan runcit pada 2023.

 

"Walaupun rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan cadangan kenaikan tarif elektrik bermula pada pertengahan 2025, tetapi kesannya dijangka terhad kepada 15% penerima pendapatan teratas dan pengguna elektrik domestik, menjadikan populasi yang lebih luas secara relatifnya tidak terjejas.

 

"Peningkatan kos sara hidup dijangka berterusan dengan sektor ini menunjukkan tanda-tanda daya tahan, menawarkan peluang terpilih untuk pertumbuhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research mengakui, mengakui tekanan kos berterusan yang dihadapi pemain industri, terutamanya dari segi kos tenaga kerja dan elektrik.

 

Katanya, kenaikan gaji minimum yang akan datang kepada RM1,700 (daripada RM1,500) mulai Februari 2025 boleh memberi kesan dari segi peningkatan pendapatan boleh guna dan menyokong pertumbuhan hasil sambil meningkatkan kos buruh untuk syarikat tertentu.

 

Potensi lanjutan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja bukan warganegara Malaysia juga menimbulkan risiko kepada kos kakitangan.

 

"Bagaimanapun, beberapa syarikat telah melaksanakan langkah untuk mengoptimumkan produktiviti tenaga kerja dan menyepadukan automasi untuk mengurus kos tenaga kerja dengan lebih cekap.

 

"Sementara itu, kesan kenaikan tarif elektrik yang dicadangkan baru-baru ini bermula pertengahan 2025 seharusnya dapat diurus, kerana banyak syarikat telah giat mengusahakan pemasangan panel solar, yang boleh mengimbangi sebahagian kos tenaga jangka panjang," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" untuk sektor itu. - DagangNews.com