Bank Islam terbit tranche ketiga sukuk Murabahah RM700 juta | DagangNews Skip to main content

Bank Islam terbit tranche ketiga sukuk Murabahah RM700 juta


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Bank Islam Malaysia Berhad berjaya menerbitkan tranche ketiga sukuk Murabahah bernilai RM700 juta di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilion hari ini. 

Sukuk ini merupakan sukuk Subordinat kedua yang diterbitkan Bank Islam untuk 2020 dan dikategorikan sebagai modal kawal selia aras 2 Bank Islam dalam mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) bagi Institusi Perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia. 

Penerbitan sukuk ini akan meningkatkan kecukupan modal Bank Islam, sejajar dengan keperluan Basel III.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, program sukuk Murabahah telah menerbitkan tranche pertama pada 7 November 2019 melibatkan RM300 juta diikuti tranche kedua berjumlah RM400 juta pada 26 Mac 2020.

“Dari segi sejarah, Bank Islam telah memperkenalkan Program Sukuk pertama dalam bentuk Program Sukuk Murabahah Subordinat RM1 bilion dalam tiga tranche pada Oktober 2014. 

"Bank telah menerbitkan tranche pertama bernilai RM300 juta pada April 2015, diikuti tranche kedua bernilai RM400 juta pada Disember 2015 dan tranche ketiga bagi program ini yang bernilai RM300 juta pada November 2017,” katanya dalam kenyataan. 

Sukuk itu boleh ditebus balik pada nilai nominal penuh setelah tempoh matang dan didatangkan dengan pilihan pembelian pada tahun kelima terbitannya. 

Ia juga menerima penarafan A1/stabil oleh RAM Rating Services Berhad.

Program Sukuk Murabahah Bank Islam ini telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti pada 6 September 2018. 

Di bawah program tersebut, Bank Islam diberi fleksibiliti untuk menerbitkan Sukuk Murabahah Subordinat atau Sukuk Murabahah Kanan dalam tempoh terlibat.

RAM Ratings telah mengesah semula penarafan jangka panjang A1/stabil dan AA3/stabil kepada masing-masing Sukuk Murabahah Subordinat dan Sukuk Murabahah Kanan di bawah Program Sukuk Murabahah ini.

Bank Islam juga merupakan Penasihat Utama, Penyusun Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Syariah bagi Program Sukuk Murabahah tersebut. - DagangNews.com