KUALA LUMPUR 24 Julai - Insitusi bank di Malaysia tidak akan melanjutkan skim moratorium yang berakhir September depan, sebaliknya menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggan mereka.
Bantuan kewangan itu berbentuk skim penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) untuk membantu pelanggan mereka yang berdepan isu pembayaran semula.
Perkara itu didedahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada para penganalisis ekonomi menerusi mesyuarat maya yang diadakan semalam, seperti dilaporkan theedgemarkets.com.
Penganalisis yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan, Tan Ei Leen dari Afffin Hwang Investment Bank Berhad berkata, pinjaman yang tertakluk kepada skim R&R tidak akan diklasifikasikan sebagai terjejas (peminjam menghadapi sekatan sementara dalam aliran tunai mereka).
“Bagaimanapun, Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS 9) boleh digunapakai di mana pinjaman akan tertakluk kepada proses secara berperingkat (peringkat 2 dan 3). Oleh itu, kami berpendapat jangkaan kerugian kredit bank akan terus meningkat pada tahun 2020 hingga 2021 dan bergantung kepada keadaan ekonomi di negara ini.
“Pada ketika ini, kami akan terus berwaspada terhadap lambakan penyitaan perniagaan terutama dalam sektor berisiko seperti pelancongan, borong dan runcit, syarikat penerbangan, pembinaan, hartanah dan pembuatan,” kata beliau seperti dipetik theedgemarkets.com.
Ketika negara berdepan penularan COVID-19, BNM mengumumkan skim moratorium yang bermula 1 April lalu dan berakhir September depan, bertujuan membantu rakyat serta peniagaan yang terjejas.
Langkah itu diambil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik berkenaan.
Dalam pada itu, penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Imran Yassin Yusof berkata, BNM turut menegaskan bahawa bank-bank di negara ini mampu bertahan walaupun berdepan krisis penularan COVID-19.
“Kami menjangkakan pinjaman tidak berbayar (NPL) dan kos kredit akan melonjak selepas tempoh moratorium, sekali gus mencecah nilai kemerosotan tertinggi pada tahun 2021,” kata beliau. - DagangNews.com