Bank Muamalat bantu empat usahawan capai impian peroleh sijil Halal JAKIM | DagangNews Skip to main content

Bank Muamalat bantu empat usahawan capai impian peroleh sijil Halal JAKIM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Empat orang usahawan menerima sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setelah mengikuti Program Pensijilan Halal Bank Muamalat Malaysia Berhad. 

 

Dua daripada usahawan tersebut merupakan usahawan asnaf di bawah skim usahawan iTEKAD Bank Muamalat manakala dua lagi merupakan pelanggan bank tersebut yang menyertai program itu yang dikendalikan oleh Serunai Commerce Sdn Bhd.

 

Bank itu turut berkata, keempat-empat usahawan itu menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) JAKIM dalam satu majlis penyerahan sijil di MITEC semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.


 
“Serunai telah dilantik sebagai konsultan rasmi program ini dalam usaha sama bank dan syarikat itu bagi membantu mengembangkan perniagaan usahawan B40 sekaligus melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang,” ulasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, bank komited mendukung hasrat kerajaan menjadikan Malaysia peneraju pasaran halal global menjelang 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion. 

 

“Melalui usaha ini, Bank Muamalat ingin membantu usahawan tempatan menjadi penyumbang kepada nilai eksport itu apabila mereka mendapat sijil Halal JAKIM sekaligus memudahkan produk mereka untuk dipasarkan ke luar negara.

 

“Bukan itu sahaja, dengan sijil itu, usahawan-usahawan tersebut akan turut merancakkan lagi penawaran bidang pekerjaan apabila mereka dapat menyediakan lebih banyak peluang baharu selari dengan pertumbuhan perniagaan mereka,” ujar beliau. 

 

Khairul menjelaskan sebagai institusi perbankan Islam penuh, pihaknya melihat sijil Halal JAKIM sebagai satu keperluan bagi memelihara pengguna dari segi kesahihan halal dan kebersihan makanan.

 

“Beberapa minggu ini pelbagai pihak membincangkan berkenaan pemilikan sijil HALAL oleh usahawan tempatan,” katanya.

 

Di samping itu, bank itu berkata, ramai usahawan kini bukan tidak mahu memohon sijil Halal, tetapi tidak tahu cara dan prosedur yang sepatutnya bagi memudahkan permohonan. 

 

“Bank Muamalat menyasarkan 100 penyertaan usahawan dengan 30% daripadanya mendapat sijil Halal JAKIM menjelang 2026. 

 

“Selain sektor makanan dan minuman, kita akan turut meneroka sektor lain yang kita boleh bantu melalui program seperti ini,” jelasnya.- DagangNews.com