Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Ismail ketika menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tersebut kepada wakil-wakil universiti baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 20 Dis - Bagi mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan sara hidup pelajar tempatan yang memerlukan bantuan, Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB) baru-baru ini menyumbang dana bantuan pendidikan berjumlah RM1.425 juta kepada 6 universiti awam di Malaysia.
Antara universiti yang menerima sumbangan tersebut ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumbangan bagi setiap universiti akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan khususnya para pelajar kategori B40 ke bawah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Ismail berkata, inisiatif tersebut merupakan sumbangan tahunan yang dijalankan oleh BPMB sejak 4 tahun lalu, dengan kira-kira 20 universiti awam telah menerima sumbangan berkenaan sehingga kini.
Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu memudahkan dan meringankan beban pelajar yang memerlukan termasuk keluarga mereka.
"Inisiatif ini sememangnya sesuatu yang sangat dekat di hati saya kerana ia mencerminkan komitmen BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan yang bertanggungjawab untuk terus melaksanakan
tanggungjawab sosial korporat kami untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, terutama dalam situasi semasa yang mencabar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mulai 2018 hingga 2020, BPMB telah menyumbang kepada 17 universiti awam.
Secara keseluruhan, termasuk sumbangan yang dibuat pada tahun ini, BPMB telah menyumbang kira-kira RM8.675 juta kepada universiti-universiti awam terpilih dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan membantu memudahkan proses pembelajaran pelajar yang memerlukan bantuan. - DagangNews.com