Bank UAE laksana transformasi perkhidmatan pelanggan menerusi Mesin Juruwang Maya X-Series Generasi Ketiga Emerico  | DagangNews Skip to main content

Bank UAE laksana transformasi perkhidmatan pelanggan menerusi Mesin Juruwang Maya X-Series Generasi Ketiga Emerico 

Azlan Ashari bersama Mesin Juruwang Maya X-Series Emerico
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Salah sebuah daripada bank terbesar Emiriah Arab Bersatu (UAE) beralih kepada Emerico dengan memilih Mesin Juruwang Maya X-Series Emerico dan platform Transformasi Digital Alexis sebagai sebahagian strategi transformasi digitalnya bagi merevolusikan landskap perkhidmatan pelanggan.

 

Emerico memaklumkan, melalui penggunaan mesin itu, bank dapat memperluaskan tawaran perkhidmatannya dengan lancar kepada pelanggan di seluruh cawangan negara Teluk, dengan menyediakan perkhidmatan automatik dan interaktif. 

 

Katanya, sistem itu membolehkan perunding pelanggan terlatih di pusat perkhidmatan untuk berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan menerusi mesin juruwang maya bagi memberikan panduan dan maklumat tambahan serta peluang jualan.

 

"Mesin Juruwang Maya X-Series Generasi Ketiga membuka era baharu dalam revolusi perbankan digital. Mesin juruwang maya ini menggunakan Platform Alexis ciptaan Emerico yang menggabungkan mesin pembelajaran, analisis ramalan dan analitis data raya untuk membantu dan mendaftarkan pelanggan secara automatik. 

 

"Ini membolehkan pelanggan Emerico meningkatkan perolehan pelanggan dan jualan, menambah baik kecekapan operasi serta mengurangkan kos operasi sesebuah cawangan dalam jumlah yang besar di samping menyediakan perkhidmatan pelanggan secara berpusat serta berkualiti," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, kelebihan Mesin Juruwang Maya X-Series berbanding penyedia teknologi lain ialah ia menyediakan perkhidmatan pemerolehan pelanggan dan pengurusan perisian pintar  dalam satu platform. 

 

Katanya, ia mengatasi keperluan bank untuk membeli perisian dan perkakasan berbeza yang rumit dan mahal untuk diintegrasikan.

 

 

Emerico

 

 

"Adalah sukar bagi pihak bank untuk memenuhi objektif mereka dalam mendapatkan kesepaduan penglibatan dan pengalaman pelanggan apabila menggunakan pelbagai sistem yang mempunyai objektif berbeza serta tidak boleh diselarikan dengan visi dan misi organisasi. 

 

"Keadaan ini juga merupakan realiti yang tidak asing bagi sektor kerajaan, telco, insurans dan hospitaliti. Dengan cabaran itu, platform Alexis oleh Emerico telah mengintegrasikan semua aspek berkenaan dalam X-series bagi mengurangkan risiko penyepaduan dan mengurangkan kos pelaksanaan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emerico, Azlan Ashari berkata, Platform Transformasi Digital Alexis baharu pihaknya mengguna pakai mesin pembelajaran dan pendekatan data tertumpu bagi menghubungkan sistem pusat IT dengan teknologi Emerico. 

 

"Ini merangkumi Mesin Juruwang Maya X-Series , Perisian Aplikasi Mobil S-series, Peranti Mobiliti Jarak Jauh V-series dan Teknologi Robotik Autonomi Penglibatan Pelanggan Robotik berautonomi R-series.

 

"Ia bermaksud peningkatan produktiviti dengan mengautomasikan pengesahan di dalam cawangan, pembayaran, operasi, pengurusan dokumen dan perkhidmatan penyertaan," katanya.

 

Kenyataan itu berkata, platform transformasi digital Alexis oleh Emerico menawarkan penglibatan dan pengalaman lancar bagi pelanggan, membolehkan organisasi meningkatkan produktiviti, menambah daya kecekapan dan mengharungi era teknologi digital terkini. 

 

Katanya, keupayaan ramalan AI melalui platform Emerico membolehkan pengalaman pelanggan diatur secara khusus, memaksimumkan peluang untuk berhubung, terlibat dan meraih lebih ramai pelanggan. 

 

"Capaian bank boleh diperluas di luar cawangan tradisional seperti kawasan lapangan terbang, pusat beli-belah, stesen minyak, hospital, universiti, pasar raya dan hotel, yang mana kos pengendalian sesebuah cawangan bank premis amat mahal. 

 

"Sebagai tambahan, platform transformasi digital Alexis adalah mematuhi Aplikasi Pembayaran PCI Standard Keselamatan Data (DSS) dan sedia bagi pengeluaran kad segera EMV," katanya.

 

Katanya, Emerico dan rakan-rakan kongsinya sememangnya sudah menikmati kejayaan di UAE menerusi Mesin Juruwang Maya X-series Generasi Pertama dan memperoleh pelanggan baharu di Arab Saudi bagi Mesin Juruwang Maya X-series Generasi Ketiga terbaharunya.

 

Azlan berkata, pihaknya telah mengembangkan pencapaian mereka dalam mentransformasi sektor perbankan dengan perolehan pelanggan baharu bagi mesin X-Series terkini.

 

"Selain itu, kami juga semakin berkembang dalam sektor kerajaan, telco, insurans dan ospitaliti. Kami sedang meluaskan rangkaian pengedar global dan tidak lama lagi akan mengumumkan sebuah syarikat bernilai jutaan ringgit dengan pengalaman industri yang luas, serta memperoleh hak pengedaran bagi Amerika Utara dan selatan," katanya. - DagangNews.com