Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk PMKS ditambah baik - PM | DagangNews Skip to main content

Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk PMKS ditambah baik - PM

Foto - Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Kerajaan memutuskan untuk menambahbaik Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dalam usaha meringankan beban rakyat terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira cabaran yang dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang terkesan ekoran banjir untuk memulihkan perniagaannya dan beroperasi semula.

 

Beliau berkata, kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.

 

"Dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

 

"Dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, sebelum ini pada bulan Disember 2021, kerajaan telah pun mengumumkan dana pinjaman RM500 juta untuk Kemudahan Bantuan Bencana yang melibatkan pinjaman kepada PKS sehingga RM700 ribu pada kadar faedah sehingga 3.5% setahun dengan moratorium 6 bulan. 

 

Di samping itu, dana sebanyak RM30 juta disediakan melalui TEKUN Nasional untuk pinjaman sehingga RM10 ribu kepada usahawan mikro dan informal. 

 

Beliau berkata, penambahbaikan bantuan tersebut turut meliputi sektor pertanian dan sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada bulan Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta. 

 

 

PM

 

"Kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

 

"Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga 3 hektar," katanya. 

 

Katanya, bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA). 

 

"Di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon bantuan sehingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian. Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan," katanya.

 

Tambah beliau, kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya. - DagangNews.com