Bantuan Musim Tengkujuh bukti kejayaan gagasan, keprihatinan Keluarga Malaysia - Mahdzir | DagangNews Skip to main content

Bantuan Musim Tengkujuh bukti kejayaan gagasan, keprihatinan Keluarga Malaysia - Mahdzir

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) hadir bersama Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (kiri) untuk merasmikan Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Risda dan Warga Orang Asli JAKOA di Tapah, Perak pada 17 Oktober 2022. - Gambar Facebook Mahdzir Khalid

TAPAH 17 Okt - Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang dinaikkan sebanyak RM200 membuktikan kejayaan gagasan dan keprihatinan Keluarga Malaysia untuk semua makmur bersama, dengan semua lapisan masyarakat mendapat pembelaan sewajarnya.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu di kementerian berkenaan (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) telah banyak membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatan akibat tidak dapat melakukan aktiviti penorehan ketika musim tengkujuh.

 

"Oleh kerana Perdana Menteri mengenal erti kepayahan pekebun kecil dan penoreh, pada tahun ini melalui pembentangan Bajet 2023 sekali lagi diluluskan peruntukan BMT dengan tambahan kenaikan kepada RM800 berbanding RM600 pada tahun ini.

 

"Faedah BMT ini turut dipanjangkan dan turut dapat dirasai oleh peneroka Felda yang mengusahakan penanaman getah," katanya berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Risda dan Warga Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sini hari ini.

 

Mahdzir turut berterima kasih kepada Ismail Sabri atas kenaikan bantuan itu yang membuktikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) masih dekat di hati Perdana Menteri, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, pelaksanaan pembayaran agihan keuntungan yang telah dilaksanakan oleh Felcra pula merupakan bukti komitmen dan perjuangan berterusan agensi itu dalam memastikan nasib peserta.

 

"Saya menyarankan kepada warga peserta untuk terus menyokong Felcra dan meyakini bahawa kehadiran agensi ini (Felcra) sebagai agensi pelaksana KPLB adalah untuk meneruskan kesinambungan usaha membandarkan luar bandar," katanya.

 

 

mahdzir

 

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Risda dan Warga Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Tapah, Perak pada 17 Oktober 2022. 

 

Pada 7 Okt, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, BMT kepada pekebun kecil getah negara ini dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600.

 

 

mahdzir

 

 

BMT yang diperkenalkan sejak 2017 melibatkan peruntukan RM256 juta dengan ia akan diberikan RM200 sebulan selama empat bulan dan akan memanfaatkan 320,000 pekebun kecil.

 

Menerusi Bajet 2022, pemberian BMT sebanyak RM600 disalurkan melalui dua peringkat iaitu RM300 pada November 2022 dan RM300 pada Disember 2022. - DagangNews.com