KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyalurkan bantuan sehingga RM30,000 kepada koperasi yang terjejas akibat banjir menerusi Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, seperti mana peruntukan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007, bantuan kecemasan ini boleh digunakan sebagai pampasan sewajarnya ke atas kerosakan premis, aset atau produk akibat bencana alam atau faktor luar kawalan.
"Ia diharap dapat membantu koperasi membangunkan semula aktiviti ekonomi serta mengurangkan beban koperasi yang terjejas akibat bencana alam ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bantuan kecemasan itu disalurkan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Selain itu, SKM turut menyediakan Bantuan Pembangunan Koperasi dan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) Tanpa Cagaran di mana keutamaan permohonan diberikan kepada koperasi yang terjejas.
Wan Junaidi berkata, aktiviti koperasi sebelum ini turut terjejas berikutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat penularan COVID-19.
"Ini memberi kesan kepada kebajikan seramai 6.1 juta anggota koperasi seluruh negara," katanya.
Sehingga 15 Januari lalu dianggarkan sejumlah RM3.2 juta kerugian melibatkan 73 buah koperasi yang terjejas merangkumi negeri-negeri seperti Pahang (40 koperasi), Kelantan (3 koperasi) dan Terengganu (9 koperasi).
Negeri lain termasuklah Johor (9 koperasi), Sarawak (2 koperasi), Sabah (2 koperasi), Perak (5 koperasi) manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing melibatkan 1 koperasi. - DagangNews.com