Banyak projek gagal direalisasikan tahun ini ekoran pembentangan semula Belanjawan 2023 dan pilihan raya negeri - HLIB | DagangNews Skip to main content

Banyak projek gagal direalisasikan tahun ini ekoran pembentangan semula Belanjawan 2023 dan pilihan raya negeri - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Berhad menyemak naik penarafan sektor pembinaan kepada 'overweight' dengan jangkaan aliran projek awam meningkat berbanding paras semasa iaitu kira-kira RM20 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelancaran projek infrastruktur adalah di bawah jangkaan pada 2023 kerana gagal direalisasikan ekoran pembentangan semula Belanjawan 2023 dan pilihan raya negeri pada pertengahan tahun.

 

Katanya, pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah sebagai Menteri Kewangan II dipercayai akan membantu mempercepatkan pelancaran projek awam.

 

Di samping itu, rasionalisasi subsidi yang berterusan dijangka meningkatkan ruang fiskal secara berperingkat kerana potensi penjimatan diarahkan kepada projek infrastruktur jangka panjang.

 

“Kami menjangkakan pelancaran projek awam akan dipercepatkan dan ia memberi kesan positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, menerusi pengumuman Belanjawan 2024, kerajaan bercadang melancarkan beberapa projek mega seperti Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan nilai RM15.7 bilion, pakej tebatan banjir bernilai RM11.8 bilion, LRT Pulau Pinang (RM10 bilion), Sabah-Sarawak Link Road (RM7.4 bilion) dan pengembalian semula LRT3 (RM4.7 bilion).

 

"Kami juga menjangkakan perkembangan lanjut mengenai pakej  MRT3 manakala terdapat potensi untuk lebih banyak aliran projek prospektif lain seperti Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan LRT Johor (RM20 bilion). 

 

"Perkembangan ketara untuk Zon Ekonomi Khas dan Zon Kewangan Khas di Johor juga boleh menjana lebih banyak peluang pembinaan," katanya.

 

"Kami melihat 2024 sebagai masa yang sesuai untuk mula membina selepas mengambil kira beberapa faktor seperti masa, skala penuh pengganda ekonomi yang akan dinikmati sebelu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad kekal sebagai pilihan utama dan menetapkan saranan “beli” untuk kedua-duanya dengan harga sasaran RM5.15 (Gamuda) dan RM2.16 (Sunway Construction). - DagangNews.com