Basmi gejala rokok demi melahirkan generasi Malaysia MADANI sihat | DagangNews Skip to main content

Basmi gejala rokok demi melahirkan generasi Malaysia MADANI sihat

Oleh Norazlinda Hj Mohammad

DI Malaysia, amalan tabiat merokok begitu sinonim bukan sahaja golongan lelaki malah segelintir juga dalam kalangan wanita tidak segan silu memperlihatkan aksi merokok dengan asap berkepul-kepul, asyik di khalayak awam. 

 

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 mengumumkan, terdapat peningkatan drastik pengguna rokok elektronik oleh remaja yang berusia 13 hingga 17 iaitu daripada 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022). 

 

Keadaan ini begitu kritikal, kerana remaja dan kanak-kanak sekolah rendah semakin berani mencuba rokok elektronik dengan membelinya dengan harga murah serendah RM5 secara dalam talian.

 

Penjualan rokok ini semakin pesat dan mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat.  Rokok biasanya dijual dalam bungkusan berbentuk kotak atau kemasan kertas yang menarik dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. 

 

Secara realitinya, rokok mengandungi pelbagai jenis racun yang merbahaya.  Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. Nikotin, tar dan pelbagai bahan kimia lain. 

 

Kesan asap rokok sebenarnya membawa keburukan kerana kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia dari setiap sedutan dan ia memang membawa kemudaratan kepada sistem pernafasan dan dalaman badan manusia.


 

Norazlinda Hj Mohammad
                         Norazlinda Hj Mohammad

 


Risiko dan Kesan kepada Aspek Kesihatan, Sosial dan Ekonomi

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah menggariskan dasar merangkumi enam nilai utama MADANI iaitu melahirkan masyarakat Madani yang dinamik dan holistik berteraskan kepada keMampanan, KeSejahteraan, Daya cipta, Hormat, KeYakinan dan Ihsan. 

 

Selaras dengan tiga daripada nilai tersebut iaitu melahirkan masyarakat Madani yang Sejahtera, Hormat dan Ihsan.

 

Oleh yang demikian, amalan rokok harus dibasmi dengan serius kerana ia memberi ancaman dan kemudaratan demi kemaslahatan masyarakat Malaysia yang ingin hidup sihat dan sejahtera.   

 

Ini juga merangkumi aspek membina jaringan kesihatan yang mampan, peradaban sosial yang baik, sejahtera dan ekonomi yang mantap agar dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat Malaysia.

 

Ihsan perlu disemai oleh setiap golongan masyarakat agar adanya sifat malu dan rasa hormat kepada orang sekeliling agar tidak merokok di tempat awam. 

 

Sejajar dengan menyokong agenda Malaysia MADANI, muda-mudi Malaysia yang menjadi tunjang harapan negara diseru mengamalkan gaya hidup produktif sihat dan tidak alpa dengan pengaruh persekitaran. 


 

parafrasa

 


Selain itu, masyarakat perlu cakna dan bijak memilih untuk menolak rokok.  Kesan keburukan merokok boleh menyebabkan kesan kepada naluri negatif, sikap ketagihan yang melampau, malah mendorong kepada lebih permasalahan, keburukan, pembaziran wang dari kebaikan. 

 

Permasalahan isu rokok perlu ditangani dan diberi perhatian oleh kerajaan dengan segera sebelum ia menjadi lebih parah bak kata pepatah mencegah adalah lebih baik dari mengubatinya.  Jangan nanti sudah terhantuk, baru nak tergadah.  Dek kerana penangan rokok, manusia merana lalu badan binasa.

 

Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatat, rokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. 

 

Negara rugi kira-kira RM 20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Ini merupakan pembaziran dan permasalahan sosial yang memberi implikasi berat iaitu menjejaskan keperluan sumber tenaga manusia bagi memenuhi pelbagai sektor pekerjaan serta menghambat proses peningkatan ekonomi negara amnya.

 

Risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, kanser paru-paru, kanser kerongkong, mulut serta tekak, kanser pundi kencing, kanser esphagus, kanser pankreas, penyakit jantung, masalah pernafasan, bronkitis, Strok dan Pneumonia. 

 

Ia juga menjejaskan keterampilan dan keyakinan diri seseorang perokok.  Di samping itu, tabiat buruk ini mengakibatkan gigi kuning, nafas berbau dan gusi bermasalah.

 

Penyelesaian kepada Permasalahan Rokok

Pertama sekali, ibu bapa seharusnya memberi contoh yang baik kepada anak-anak.  Oleh yang demikian, binalah kehidupan keluarga yang sihat dan bebas daripada pengaruh rokok. 


 

parafrasa

 


Kajian tentang kandungan rokok, diskusi program kesihatan dan perbahasan tentang kesan atau bahayanya nikotin perlu dilakukan sebaiknya bagi memberi fakta saintifik, pengetahuan dan pendedahan yang menyeluruh kepada seluruh masyarakat Malaysia. 

 

Paparan poster, infografik dan risalah kesihatan mengenai bahaya merokok perlu disebar secara terbuka kepada orang ramai agar mendidik masyarakat untuk mengawal dan menggalakkan perokok berhenti merokok. 

 

Ini bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan permasalahan rokok tetapi juga meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai kesan keburukan merokok serta kandungan nikotin yang mudarat.

 

Kempen kesedaran perlu dilakukan dan diperluaskan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani masalah rokok, menjaga kesejahteraan dan kesihatan masyarakat. 

 

Malah bukan sahaja iklan pencegahan dan pemaparan kandungan nikotin perlu jelas tetapi juga membesarkan saiz informasi amaran dan implikasi kepada perokok perlu didedahkan bagi memberi kesedaran yang tinggi kepada perokok, perokok pasif dan masyarakat. 

 

Penjanaan pendapatan melalui cukai mudarat yang dikenakan kepada pengeluar atau kilang rokok perlu dikaji secara telus oleh kerajaan kerana ia bukan sahaja boleh mengakibatkan kes penyeludupan rokok meningkat tetapi juga mencerminkan kredibiliti kepimpinan DSAI. 

 

Kerajaan perlu berpegang teguh kepada prinsip melahirkan masyarakat MADANI yang progresif, berakal, ihsan dan hormat bagi menjamin kualiti kehidupan masyarakat Malaysia yang sejahtera, berkeyakinan dan mampan.


 

parafrasa

 


Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 perlu diluluskan dan dilaksanakan dengan segera bagi mengawal penjualan rokok elektronik dan vape kepada generasi muda. 

 

Ini sangat penting bagi mendukung aspirasi kesihatan dan kepentingan  awam. Ketegasan undang-undang perlu dilaksanakan dengan setimpal dan diperketatkan bagi membantu menangani permasalahan rokok contohnya dengan menangkap perokok yang tidak beretika dan melanggar peraturan merokok di tempat awam. 

 

Ia sedikit sebanyak  mencerminkan kredibiliti kerajaan pimpinan DSAI di dalam menyelesaikan keluhan orang ramai malah ia juga melestarikan serta membina masyarakat MADANI yang sihat, sejahtera, hormat menghormati dan punya perasaan ihsan di dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.  

 

Selain itu, kempen pencegahan merokok perlu lebih kreatif, tidak bosan, dan Slogan “Katakan Tidak kepada Rokok dan Tembakau” perlu dilakukan dengan tegas dan secara berterusan bukan bermusim kerana ia akan memberi gambaran imej kepada sejauh mana gerakan kempen dilakukan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani masalah ancaman rokok. 


 

parafrasa

 


Langkah kempen siar raya tentang bahayanya merokok perlu disalurkan lebih luas bukan sahaja melalui media elektronik, percetakan malah juga di rangkaian media baharu atau platform media sosial. 

 

Ini penting bagi memastikan mesej disampaikan secara meluas dan berkesan bagi mencapai sasaran bukan sahaja kepada orang ramai malah juga kepada generasi muda yang menjadi pelapis, permata negara di masa hadapan dan yang paling utama kepada jiwa si perokok. DagangNews.com

 

 

Norazlinda Hj Mohammad merupakan Pensyarah Kanan Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka
parafrasa