BAT Malaysia lancarkan strategi kemampanan demi masa depan lebih baik | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia lancarkan strategi kemampanan demi masa depan lebih baik



KUALA LUMPUR 14 Sept British American Tobacco (Malaysia) Berhad memperkenalkan strategi kemampanannya hari ini sebagai sebahagian daripada usaha membina Masa Depan Lebih Baik atau A Better Tomorrow™.

 

Strategi tersebut dikongsi dalam taklimat media oleh Pengarah Undang-Undang & Hal-Ehwal Luar BAT Malaysia, Nick Booth berkata, dengan matlamat korporat syarikat yang baharu, pihaknya beralih daripada perniagaan yang menekankan kemampanan kepada syarikat yang menjadikan kemampanan tumpuan segala apa yang dilakukan.

 

Beliau berkata, syarikat akan berusaha membina masa depan yang lebih baik menerusi strategi yang mengurangkan kesan kesihatan perniagaannya dan pada masa yang sama mengutamakan kecemerlangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

 

''Bersama-sama, kami percaya ia akan memacu kemampanan jangka panjang perniagaan syarikat dan mencipta nilai bersama bagi pengguna, masyarakat, kakitangan dan pemegang saham kami.”

 

“Kami juga menetapkan matlamat jelas untuk melaksanakan strategi tersebut. Kami bercita-cita menjadi syarikat produk & perkhidmatan pengguna yang terkemuka dari segi penarafan ESG FTSE4Good Bursa Malaysia dan terbaik dalam kelasnya di dalam Kumpulan BAT dan juga diiktiraf kerana inisiatif kemampanan di dalam negara dan peringkat antarabangsa. Kami teruja untuk membina Masa Depan Lebih Baik di Malaysia,'' katanya.

 

Empat tunggak utama Strategi Kemampanan BAT Malaysia ialah:
 

PENGURANGAN MUDARAT: Masa Depan Lebih Baik (A Better Tomorrow™) dengan mengurangkan kesan kesihatan perniagaan dan menawarkan produk-produk kurang mudarat kepada pengguna.

BAT Malaysia akan menyokong usaha mewujudkan undang-undang yang sesuai untuk produk pengurangan mudarat tembakau seperti vape bernikotin.

 

ALAM SEKITAR: Masa Depan Lebih Baik (A Better Tomorrow™) dengan mencapai kecemerlangan dalam pengurusan alam sekitar.

BAT Malaysia mempertingkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan berusaha mencapai emisi karbon neutral dalam operasi. Ini termasuk penggunaan tenaga solar di kilangnya di Johor Bahru, gudang dan  pejabat pengedaran di seluruh negara dan penggunaan kenderaan hybrid. Di samping itu, BAT Malaysia berusaha untuk pengurangan sisa dan penghapusan plastik sekali guna.

 

 

BAT

 

 

SOSIAL: Masa Depan Lebih Baik (A Better Tomorrow™) dengan mencipta kesan sosial positif.

Syarikat berusaha mencapai kesan sosial positif dengan mewujudkan persekitaran yang saksama. Ini termasuk usaha untuk memastikan hak sama rata wanita dan kewarganegaraan dalam pengurusan dan kepimpinan syarikat. BAT Malaysia juga akan menilai semula program pelaburan masyarakat mampannya bagi memperkasakan masyarakat tempatan untuk menikmati Kemakmuran Bersama.

 

TADBIR URUS: Masa Depan Lebih Baik (A Better Tomorrow™) dengan melaksanakan tadbir urus korporat yang mantap.

BAT Malaysia akan memastikan ia mencapai objektif perniagaannya secara bertanggungjawab sesuai dengan standard integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi bagi memastikan pematuhan undang-undang, amalan terbaik tadbir urus dan dasar polisi negara.

 

BAT Malaysia juga telah menjajarkan strateginya dengan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu dan elemen utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, BAT Malaysia juga menanda aras syarikat dengan penarafan FTSE4Good Bursa Malaysia ESG. - DagangNews.com