Selepas tertunda tiga kali, Kementerian Pertahanan (Mindef) melanjutkan lagi tempoh untuk menghantar 4 helikopter sewaan UH-60A+ Black Hawk kepada Tentera Darat (TD).
Kegagalan berbuat demikian memungkinkan kontrak sewaan berkenaan bernilai RM187 juta dibatalkan.
Kata dua yang diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menunjukkan ketegasan kementerian tersebut yang tidak mahu isu itu terus berlanjutan.
Tentera Darat amat memerlukan helikopter pengangkut taktikal bagi melancarkan tugas operasi serta latihan anggota, justeru kelewatan yang berlaku memberi kesan.
Pada Mei tahun lepas, syarikat Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. (Aerotree) diberikan kontrak oleh Mindef untuk sewaan helikopter selama lima tahun.
Mengikut perancangan awal, helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk ini sepatutnya diterima secara berperingkat-peringkat bermula bulan November tahun lalu.
Bagaimana pun, ia ditunda pada April lepas dan sekali lagi dilanjutkan sehingga penghujung Mei.
Sebelum ini dikatakan konflik di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.
Disebabkan kelewatan tiga kali penghantaran, Mindef juga telah mendapatkan pandangan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk ini.
Sebelum ini kepimpinan Tentera Darat memberi kata putus untuk mengusulkan kepada Mindef agar kontrak sewaan itu dibatalkan.
Ini berikutan Tentera Darat tidak berpuas hati apabila penghantaran helikopter pengangkut saiz sederhana itu lewat dilaksanakan berbanding jadual.
Sekiranya kesemua helikopter diterima Tentera Darat sudah pasti pesawat-pesawat ini dapat menyertai terbang lintas aset-aset udara semasa Sambutan Hari Kebangsaan lalu.
Helikopter UH-60A+ Black Hawk diumumkan menjadi aset baharu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pada 11 Mac tahun lalu oleh Panglima Tentera Darat waktu itu, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat dan Hari Ulang Tahun PUTD Ke-28 di Kem Mahkota, Kluang, Johor.
Pemilihan helikopter Black Hawk ini adalah berdasarkan kehendak dan keperluan yang disuarakan oleh warga PUTD.
Black Hawk telah lama disebut-sebut menjadi idaman PUTD untuk melengkapkan rejimen helikopter pengangkut memandangkan helikopter Sikorsky Nuri yang ada adalah bekas kepunyaan TUDM.
Sebagai helikopter taktikal era moden, banyak kelebihan pada Black Hawk yang juga merupakan helikopter pengangkut paling banyak diguna di dunia selepas pesawat Mi 17 buatan Rusia.
Sekumpulan juruterbang PUTD dan dari syarikat Aerotree juga telah dihantar secara berfasa mengikuti latihan mengendalikan simulator Sikorsky UH-60A Black Hawk di Ankara, Turkiye.
Latihan ini telah diadakan di Havelsan Simulator Training Centre, Ankara.
Ia sebagai persediaan kepada juruterbang Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD bagi persiapan penerimaan pesawat baru.
Bagaimana pun, disebabkan penangguhan ini, rejimen PUTD ini tidak mempunyai pesawat selepas perkhidmatan helikopter Sikorsky Nuri ditamatkan 4 tahun lalu.
Sebenarnya, jumlah 4 buah yang hendak disewa ini pun sebenarnya terlalu kecil berbanding yang diperlukan untuk operasi Tentera Darat.
Walaupun Mindef dikatakan belum mempunyai perancangan selanjutnya jika keputusan menyewa helikopter Black Hawk daripada syarikat sedia ada ini dibatalkan, namun ia bukanlah isu utama.
Ini kerana ada beberapa syarikat lain yang berpotensi untuk menawarkan khidmat sama jika tawaran baharu dibuka Mindef. - DagangNews.com