Batalkan projek LCS jika usaha pemulihan sukar, elok pilih kapal perang baharu yang lebih moden | DagangNews Skip to main content

Batalkan projek LCS jika usaha pemulihan sukar, elok pilih kapal perang baharu yang lebih moden

Pembinaan LCS pertama KD Maharaja Lela yang masih belum siap.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Laporan kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diumumkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam mendedahkan lagi kepincangan projek tersebut.

 

TLDM hanya akan menerima kesemua lima kapal itu pada tahun 2029 bermakna keseluruhan jangka masa menyiapkan LCS mengambil masa 16 tahun sejak projek dimeterai pada 2013.

 

Itu pun jika tiada berlaku sebarang kelewatan atau masalah-masalah lain yang mana kebarangkalian tersebut tidak boleh dijangka.

 

Tempoh 16 tahun bagi sesebuah projek membina lima daripada asal enam kapal perang adalah sesuatu yang sangat tidak masuk akal atau menunjukkan ada kepincangan berlaku.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan PAC dedah projek kapal tempur LCS dijangka siap lagi lewat - 2029 !!!

 

Lawatan
Lawatan PAC ke Lumut pada 5 Oktober lalu bagi melihat perkembangan projek LCS.

 

Kebiasaannya sebuah kapal perang seperti LCS memerlukan tempoh tiga tahun daripada mula dibina sehingga kapal diserahkan kepada pengguna.

 

Sebagai contoh, pembinaan dua kapal frigat Filipina kelas Jose Rizal disiapkan Hyundai Heavy Industries (HHI) dari Korea Selatan dalam masa tiga tahun.

 

Fasa lunas kapal itu dimulakan pada Mei 2018 sebelum kapal ditauliahkan ke dalam armada tentera laut negara itu pada Julai 2020.

 

Memanglah diakui HHI sebuah syarikat perkapalan besar tetapi dalam isu LCS apabila kontrak dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) bermakna ia telah bersedia menerima tanggungjawab.

 

Siap
Pembinaan frigat San Jose milik Filipina siap dalam tempoh tiga tahun mengikut jadual.

 

PAC juga mendapati tiada kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC pada 11 Disember 2021 hingga lawatan PAC pada 10 Jun 2023.

 

Menurut laporan PAC itu juga, isu utama 'detailed design' atau rekabentuk terperinci LCS juga masih belum diselesai iaitu pada kadar 96 peratus di pihak kontraktor manakala yang diluluskan penguasa reka bentuk LCS, Naval Group dari Perancis 84 peratus.

 

Secara logiknya, sukar untuk diterima bagaimana tanpa rekabentuk terperinci tetapi pihak kontraktor telah menjalankan kerja-kerja pembinaan kapal ini sepanjang tempoh projek LCS bermula.

 

Ini kerana pembinaan kapal adalah sangat kompleks dan mahal, apatah lagi sebuah kapal perang berteknologi tinggi kerana aset itu perlu dikendalikan untuk tempoh yang lama.

 

Siap

 

Siap
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (tengah) diberikan penerangan semasa meninjau perkembangan projek LCS di Lumut.

 

Rekabentuk sesebuah kapal juga mengikut pada peranan aset tersebut, kawasan operasinya yang dijangkakan dan juga menjangkakan kemungkinan persekitaran kapal akan dioperasikan.

 

Walaupun LCS diasaskan daripada rekabentuk kapal kelas Gowind buatan Naval Group dari Perancis, tetapi sehingga kini belum ada kapal jenis ini berskala frigat seberat 3,100 tan dbina.

 

Malaysia yang merupakan negara pertama memilih rekaan Gowind, malangnya kapal yang dibina masih belum siap.

 

Sebaliknya, negara lain yang mengikuti kemudian iaitu Mesir (versi korvet), Argentina (versi OPV) dan Emiriah Arab Bersatu (frigat 2,700 tan) telah pun menerima kapal masing-masing.

 

Kapal

 

Kapal
Kapal LCS 1 semasa dilancarkan dalam keadaan belum siap sepenuhnya.

 

Nampaknya pelan mobilisasi yang ditandatangani Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 31 Mei 2022 untuk menyelamatkan projek LCS dibimbangi umpama tikus membaiki labu sekiranya ia tidak berjalan sepertimana dirancang.

 

Ia berdasarkan laporan PAC bahawa tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan lagi kepada 83 bulan.

 

Mengikut syarat mobilisasi yang sudah ditetapkan, LCS pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.

 

Jika hendak bercakap tentang perlunya LCS disiapkan demi mengukuhkan keselamatan maritim negara, jujurnya perkara itu menjadi tidak bermakna sebaik ada kepincangan dikesan.

 

Kapal
Kerajaan wajar membatalkan projek LCS dan beralih kepada kapal perang baharu yang lebih canggih.

 

Dengan kemelut yang tidak berkesudahan ini, adalah lebih bijak sekiranya kerajaan hari ini mengambil satu keputusan mutlak membatalkan terus projek LCS dan digantikan dengan perolehan kapal lain.

 

Ini kerana tidak ada beza untuk menghabiskan lebih banyak masa dan wang kepada projek LCS yang boleh dikategorikan projek sakit.

 

Justeru, adalah lebih baik kerajaan membelanjakan wang bagi perolehan kapal jenis sama iaitu LCS atau frigat dengan syarikat luar negara, malah TLDM boleh mendapatkan kapal yang lebih canggih.

 

Kapal
Kepincangan projek LCS memberi kesan negatif kepada keupayaan masa hadapan TLDM.

 

Tempoh tiga hingga empat tahun untuk TLDM mendapatkan kapal baharu menggantikan projek LCS adalah lebih baik, apatah lagi jika dibina oleh syarikat perkapalan dengan rekod cemerlang. 

 

Walaupun berbilion wang telah dihabiskan pada projek LCS, apa yang lebih penting ialah supaya TLDM dapat memiliki aset-aset terbaik pada masa yang ditetapkan tanpa kepincangan. DagangNews.com