Batik Air perkenal penerbangan terus KL-Melbourne mulai 20 Disember ini | DagangNews Skip to main content

Batik Air perkenal penerbangan terus KL-Melbourne mulai 20 Disember ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Batik Air mengumumkan pelancaran penerbangan A330 dari Kuala Lumpur ke Melbourne, pada 20 Disember 2023 sebanyak empat kali seminggu.

 

Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, beliau teruja untuk memperkenalkan penerbangan terus ke Melbourne, yang merupakan bukti komitmen bagi memenuhi keperluan penumpang.

 

Beliau berkata, Melbourne sebagai destinasi percutian peringkat teratas dan menyedari peningkatan permintaan itu untuk sambungan terus ke Australia terutamanya semasa cuti puncak dan musim perjalanan.

 

"Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Batik Air untuk menambah baik tawaran untuk pasaran Melbourne,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Chandran berkata, Batik Air turut menawarkan tambang promosi istimewa bermula daripada RM899, termasuk tiket kelas ekonomi sehala dan RM5,299 untuk kelas perniagaan. 

 

Katanya, tempoh jualan kini bermula sehingga 10 Disember 2023, untuk perjalanan antara 20 Disember hingga 30 Disember 2023.

 

"Kami menjemput pelancong untuk memanfaatkan tambang pengenalan sambil menikmati perkhidmatan mesra dengan terbang dengan pesawat A330 Batik Air kami," katanya.

 

 

batik air

 

 

Penerbangan OD 175 berlepas dari Kuala Lumpur pada setiap Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat pada 6.20 petang, tiba di Melbourne pada 5.15 pagi (waktu tempatan) hari berikutnya, memastikan penumpang boleh memilih jadual sesuai dengan keperluan mereka.

 

Sementara itu, penerbangan pergi balik OD 176, beroperasi pada Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu, bertolak dari Melbourne pukul 6.45 pagi (waktu tempatan) dan tiba di Kuala Lumpur pukul 12.10 tengah hari.

 

Batik Air juga menyediakan penerbangan terus yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Adelaide dan Perth. 

 

 

batik air

 

 

Syarikat penerbangan itu berkhidmat di Sydney, Melbourne, Brisbane dan Perth melalui Denpasar. Selain itu, Batik Air beroperasi ke Auckland melalui Perth.

 

Sementara itu, Batik Air menawarkan pilihan pra pembelian makanan dan diskaun elaun bagasi tambahan. Makanan dan minuman dijual di semua penerbangan Batik Air. - DagangNews.com