Batik Air tiada penerbangan sewa premium untuk jemaah umrah, minta orang ramai berwaspada scammer | DagangNews Skip to main content

Batik Air tiada penerbangan sewa premium untuk jemaah umrah, minta orang ramai berwaspada scammer

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 210 Okt - Batik Air ingin meminta orang ramai berwaspada terhadap skim penipuan yang melibatkan penyebaran maklumat palsu, kononnya syarikat penerbangan itu terlibat dengan pihak ketiga mengendalikan `penerbangan sewa premium untuk jemaah umrah' ke Arab Saudi.

 

"Kami ingin mengesahkan bahawa tiada perkongsian maklumat sedemikian wujud dengan mana-mana pihak ketiga untuk tujuan perkhidmatan penerbangan sewa premium untuk jemaah Umrah.

 

"Sehubungan itu, kami menasihati semua pihak untuk mengabaikan sebarang maklumat yang mengelirukan dan seharusnya segera menghubungi Batik Air jika mereka didekati oleh mana-mana pihak dengan cerita seumpama itu," kata syarikat itu dalam satu kenyataan media.

 

Batik Air juga menekankan bahawa sebarang bayaran tidak sepatutnya dibuat kepada pihak ketiga yang mendakwa menjual perkhidmatan tersebut.

 

Batik Air memandang serius perkara ini dan telah membuat laporan polis secara rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

"Kami telah meminta siasatan menyeluruh terhadap aktiviti penipuan ini untuk memastikan pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka dan untuk mengelakkan orang awam daripada terus ditipu.

 

"Kami menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan berhati-hati daripada menjadi mangsa skim penipuan tersebut.

 

"Sila hubungi saluran rasmi Batik Air untuk mengesahkan sebarang maklumat yang diperlukan," kata syarikat tersebut. - DagangNews.com