KUALA LUMPUR 31 Julai - Batik Air mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke empat destinasi baharu di Indonesia, mengembangkan rangkaiannya ke lapan bandar di rantau itu.
Syarikat itu berkata penerbangan ke Lombok sudah mula beroperasi pada hari ini, diikuti laluan ke Surabaya pada 1 Ogos.
Selain itu, penerbangan ke Pekanbaru dan Padang pula akan bermula pada 10 Ogos 2024.
Dalam kenyataan media hari ini, Batik Air berkata laluan baharu itu akan menyediakan akses mudah penumpang ke negara Indonesia dan meningkatkan rangkaian antara Malaysia dan negara itu.
Batik Air akan mengendalikan 14 penerbangan mingguan ke Surabaya, empat penerbangan mingguan ke Lombok, dan tujuh penerbangan mingguan masing-masing ke Pekanbaru dan Padang.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy menjelaskan laluan baharu itu akan memupuk hubungan kukuh antara Malaysia dan Indonesia dengan menggalakkan pertukaran budaya dan ekonomi yang lebih besar.
"Laluan baharu itu akan memperluaskan lagi peluang perjalanan, memudahkan peningkatan pelancongan dan penglibatan perniagaan antara kedua-dua negara ini.
“Memperluaskan rangkaian kami bukan sahaja memenuhi permintaan yang semakin meningkat tetapi menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan transaksi perniagaan dan perkongsian yang lebih lancar,” katanya, sambil menyatakan bahawa laluan itu bakal merangsangkan peluang perdagangan dan menarik pelaburan.
Di samping itu, beliau menekankan peranan strategik KLIA sebagai hab umrah penting yang merupakan titik transit bagi jemaah ke Arab Saudi, terutama mereka dari Asia Tenggara.
Pada masa ini, Batik Air mengendalikan penerbangan terus ke Jeddah dan tidak lama lagi akan memulakan penerbangan ke Madinah pada bulan Ogos.
Batik Air juga berkata penambahan laluan baharu ke Madinah khusus bagi Jemaah haji dan umrah akan meningkatkan ketersambungan dan kapasiti KLIA.
“Ia juga menawarkan pilihan yang lebih mudah untuk jemaah haji dan meningkatkan statusnya sebagai hab transit antarabangsa utama.
“Kedudukan strategik itu bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan agama tetapi juga mengukuhkan peranan Malaysia dalam memudahkan perjalanan global dan pertukaran budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.- DagangNews.com