Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Batu Kawan Berhad (BKB) yang sebelum ini wajib mengambil alih semua kepentingan yang tidak dimiliki dalam Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) kini layak untuk menerajui syarikat berkenaan secara persendirian.
Ini susulan BKB berjaya meraih 96.71% atau 162.17 juta saham CCM setakat 5 petang semalam.
Menerusi peratusan kepentingan itu, ini bermakna BKB dan pihak bertindak bersama (PAC) telah memperoleh penerimaan tawaran sah tidak kurang daripada sembilan persepuluh dalam nilai nominal saham biasa di CCM setakat tempoh berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan CIMB Investment Bank Berhad yang mewakili BKB di Bursa Malaysia semalam.
“Oleh itu, BKB akan menggunakan peruntukan Seksyen 222 (1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) untuk memperoleh secara wajib apa-apa baki Tawaran Saham dari pemegang kepentingan yang belum menerima tawaran dan / atau yang telah gagal atau menolak untuk memindahkan Tawaran Saham kepada BKB mengikut syarat dan tertakluk kepada syarat-syarat Dokumen Tawaran (pemegang saham yang tidak bersetuju).
“Sehubungan itu, BKB akan mengeluarkan notis pengambilalihan berwajib di bawah Seksyen 222 (1) CMSA, di mana akan dihantar kepada pemegang saham yang tidak bersetuju,” jelas makluman itu.
Pada 15 Januari lalu, BKB berjaya memperoleh penerimaan tawaran saham yang sah mewakili 92.80% atau 155.62 juta daripada pemegang kepentingan PAC CCM setakat 5 petang hari sebelumnya.
Baca : 92.80% ekuiti CCM 'dalam tangan’ Batu Kawan
BKB turut melanjutkan tarikh tutup penghantaran penerimaan tawaran pengambilalihan itu daripada 18 Januari 2021 kepada 2 Februari 2021 pada pukul 5 petang.
Terdahulu, CCM pada asalnya merupakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memegang kepentingan majoriti.
Namun, pada 17 November 2020, PNB mencapai persetujuan dengan BKB untuk melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 56.3% dalam CCM dan dana unit amanahnya berjumlah RM292.8 juta.
Baca : Apabila PNB pula mula jual aset
Harga itu mewakili premium sebanyak 69% daripada harga saham purata berwajaran 3 bulan.
Penjualan tersebut akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.
BKB kemudiannya membuat tawaran rasmi untuk membeli kesemua saham CCM yang tidak dimilikinya pada harga RM3.10 sesaham bernilai RM292.79 juta.
Bursa Malaysia Securities akan menggantungkan dagangan saham CCM di pasaran utama selepas tamat lima hari pasaran dari tarikh tutup tawaran.
Ini bermakna, saham CCM tidak lagi boleh didagangkan di bursa tempatan memandangkan BKB tidak berhasrat untuk meneruskan penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, sekali gus bakal mengambil langkah-langkah yang perlu. - DagangNews.com