Bayar RM74 juta kepada MAHB, untung bersih WCT dijangka susut 47% | DagangNews Skip to main content

Bayar RM74 juta kepada MAHB, untung bersih WCT dijangka susut 47%

WTC Holdings (WCT)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Syarikat pembinaan terkemuka, WTC Holdings (WCT) dijangka hilang 47% daripada keuntungan bersih syarikatnya bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat susulan daripada arahan pembayaran yang perlu dibuat anak syarikat WCT iaitu Segi Astana sebanyak RM74 juta kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 

Menurut WCT, proses timbang tara bersama MAHB mengakibatkan kerugian tambahan JV berjumlah RM28 juta bagi tahun kewangan 2020.

 

"Berdasarkan proforma, perkara itu meningkatkan kerugian JV yang dilaporkan pada tahun kewangan 2020 sebanyak RM94 juta kepada RM122 juta.

 

"Ia secara tidak langsung turut meningkatkan anggaran jumlah kerugian bersih tahun kewangan 2020 sebanyak 11% kepada RM211 juta berbanding RM191 juta.

 

"Dengan andaian perkara itu turut memberi kesan kepada tahun kewangan 2021, kerugian tambahan JV dijangka akan mengurangkan keuntungan bersih tahun kewangan 2021 sebanyak 47% daripada RM44 juta kepada RM23 juta," jelas CGS-CIMB Research.

 

Terdahulu, WCT dalam pengumumannya memberitahu bahawa syarikatnya telah selesai menjalani proses timbang tara yang melibatkan anak syarikatnya, Segi Astana dan MAHB.

 

Hasil proses timbang tara tersebut, Segi Astana perlu membayar RM74 juta kepada MAHB susulan kes pertikaian berkaitan projek sistem penyejukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

 

Jumlah RM74 juta yang perlu dibayar kepada MAHB itu berdasarkan caj bulanan tetap bagi air sejuk untuk sistem penyejukan dari Mei 2014 hingga September 2020 yang bernilai RM958,849.

 

Selain itu, Segi Astana juga perlu membayar RM894,072 kepada MAHB berkaitan kos perundangan dan lain-lain yang berkaitan.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya bagaimanapun mengambil sikap lebih optimis disebalik berita berkenaan.

 

"Kami melihat kemungkinan kelemahan harga saham WCT sebagai peluang pembelian kehadapan menjelang prospek pemulihan termasuk prospek projek meliputi projek berpotensi besar iaitu MRT3.

 

"Selain itu, WCT juga mempunyai prospek penjualan hartanah dengan sasaran jualan RM1 bilion pada tahun kewangan 2021 serta prospek pemulihan aset runcit dan hospitaliti seiring pelancaran vaksin COVID-19," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com