Bayaran balik yuran pekerja asing tidak jejaskan sasaran pendapatan SDP | DagangNews Skip to main content

Bayaran balik yuran pekerja asing tidak jejaskan sasaran pendapatan SDP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Public Investment Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan sasaran harga RM4.12 bagi saham-saham Sime Darby Plantation (SDP) selain menjangkakan pembayaran balik yuran pengambilan kepada pekerja asing berjumlah RM82.02 juta tidak akan menjejaskan sasaran pendapatan kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk membayar sejumlah RM38.6 juta kepada 15,078 pekerja sedia ada selain RM43.4juta kepada lebih 19,565 bekas pekerja yang terdiri daripada warga Indonesia, India, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Cambodia, Sri Lanka dan Pakistan.

 

"Tiada sebarang perubahan akan berlaku terhadap unjuran pendapatan kumpulan kerana ia merupakan perbelanjaan sekali bayar.

 

"Keputusan kewangan bagi 4QFY21 dijangka keluar pada 18 Februari 2022 dan kami tidak menolak kemungkinan berlaku kejutan kerana peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih kukuh berbanding jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Syarikat perladangan itu juga mewujudkan Prosedur Pengambilan Bertanggungjawab yang lebih baik dan melaksanakan proses baharu untuk membolehkan dialog yang lebih baik dengan pekerja.

 

Langkah itu sejajar dengan matlamat utamanya untuk memastikan kesejahteraan pekerja dengan pelaksanaan beberapa perubahan dan penambahbaikan kepada struktur tadbir urus, dasar dan prosedurnya.

 

sawit

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga akan memastikan ejen pengambilan dipilih melalui tender terbuka yang telus selain mereka akan dipantau dalam memastikan akauntabiliti kontrak untuk pematuhan piawaian bagi setiap pengambilan.

 

BACA JUGA: Sime Darby Plantation laksana perubahan tadbir urus, operasi

 

Katanya, lembaga pengarah juga akan memperkenalkan kad laporan bagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memastikan semua prosedur polisi dilaksanakan bagi memastikan operasi harian berjalan lancar selain kebajikan pekerja terjamin.

 

sawit

 

"Bagi setiap ladang, pekerja asing daripada setiap negara boleh melantik seorang wakil untuk menjalankan dialog bersama wakil pengurusan setiap dua minggu.

 

"Seandainya ada isu yang dibangkitkan, ia akan disiasat serta disemak oleh badan pematau bebas bagi memastikan ia diselesaikan sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com