Bayaran gaji kerja dari rumah berjalan seperti biasa – KSM | DagangNews Skip to main content

Bayaran gaji kerja dari rumah berjalan seperti biasa – KSM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menegaskan bayaran gaji bagi pekerja yang diarahkan bekerja dari rumah berjalan seperti biasa.

Dalam masa sama, Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan Cuti Tahunan atau mengambil Cuti Tanpa Gaji.

“Perkara ini selaras dengan perintah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh KSM ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

 

M. Saravanan
M. Saravanan

 

Namun begitu, majikan boIeh berbincang dengan pekerja dalam apa jua tindakan serta keputusan yang diambil demi kepentingan bersama.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerta Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-8886 2352 / 03-8886 2409 / 03-8888 9111,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pekerja di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah diarahkan untuk bekerja dari rumah bermula hari ini sehingga tempoh pelaksanaan itu tamat.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam bersetuju untuk membenarkan maksimum 10% pekerja merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat yang dihadkan selama 4 jam sahaja bermula 10 pagi sehingga 2 petang untuk 3 hari seminggu.

Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan berkenaan.

Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.

Selain itu, majikan perlu menetapkan garis panduan bekerja dari rumah yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing. – DagangNews.com