Bayaran PTPTN melalui potongan gaji pekerja kini boleh dilaksana secara dalam talian | DagangNews Skip to main content

Bayaran PTPTN melalui potongan gaji pekerja kini boleh dilaksana secara dalam talian

Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 14 Nov - Potongan gaji pekerja bagi tujuan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini diuruskan secara manual boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui 'Portal Majikan Online'.

 

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan dalam talian berkenaan juga boleh digunakan untuk penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

 

"Perkhidmatan dalam talian memberi kemudahan platform kepada majikan dengan proses pengesahan dan semakan data yang lebih mudah dengan proses keseluruhan potongan gaji dilaksanakan secara digital,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini. 

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam kenyataan sama dipetik sebagai berkata, Portal Majikan Online merupakan satu agenda pendigitalan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien.

 

"Dengan adanya Portal Majikan Online, majikan boleh melakukan transaksi potongan gaji pekerja pada bila-bila masa dengan mudah, cepat dan selamat," katanya. 

 

Ahmad Dasuki berharap majikan dapat membantu pekerja yang merupakan peminjam PTPTN mengambil peluang membuat bayaran balik melalui potongan gaji untuk menikmati insentif diskaun yang diberikan kerajaan, lapor Bernama.

 

"Kerajaan melalui Belanjawan 2024 bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15% untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024," katanya. - DagangNews.com