Bayi perempuan makin kurang dilahirkan dalam 10 tahun ini - kajian saintifik | DagangNews Skip to main content

Bayi perempuan makin kurang dilahirkan dalam 10 tahun ini - kajian saintifik

Trend yang boleh merosakkan perpaduan sosial dalam tempoh jangka masa panjang. - Gambar hiasan

 

 

PARIS 3 Ogos -  Dianggarkan bayi perempuan yang dilahirkan semakin berkurangan sebanyak 4.7 juta orang di seluruh dunia dalam tempoh 10 tahun, menurut satu kajian yang dijalankan seperti dilaporkan AFP.

 

Situasi ini disebabkan sesetengah negara mengamalkan budaya yang memberi keutamaan kepada keturunan lelaki, satu trend yang merosakkan perpaduan sosial dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Malah, kajian itu juga menunjukkan kekurangan bayi perempuan yang dilahirkan akan menyebabkan lebih banyak lelaki dalam sepertiga penduduk global menjelang 2030, menyebabkan tingkah laku dan keganasan anti-sosial semakin meningkat. 

 

Pengguguran secara selektif seks meningkat selama 40 tahun terakhir di negara-negara di seluruh Eropah tenggara bersama dengan Asia selatan dan timur, dengan kesan demografi yang belum ditentukan.

 

Bagi melihat kesan jangka pendek dan panjang selektif seks ini ke atas masyarakat, sepasukan penyelidik antarabangsa menganalisis data terhadap lebih 3 bilion kelahiran dalam tempoh 50 tahun lalu.

 

Dengan memberi tumpuan kepada 12 negara yang menyaksikan nisbah lelaki kepada wanita meningkat sejak 1970 dan lagi 17 negara yang menunjukkan risiko peningkatan disebabkan trend sosial atau budaya, mereka menyimpulkan 2 senario. 

 

"Pertamanya, dengan menganggap peningkatan kadar pemilihan seks, berdasarkan kepada bukti statistik.

 

"Senario kedua pula dengan membuat tanggapan pemilihan seks ini di beberapa negara, berdasarkan trend yang diperhatikan dan kadar kesuburan menurun tetapi kurang data spesifik.

 

Berdasarkan senario 1, negara menyaksikan penurunan sehingga 4.7 juta kelahiran bayi perempuan menjelang 2030 manakala senario 2, angka itu melonjak kepada lebih 22 juta pada 2100 di seluruh dunia.

 

Penulis yang menerbitkan penyelidikan itu dalam jurnal perubatan BMJ berkata, sikap 'bias' terhadap keturunan lelaki akan membawa kepada 'tekanan perkahwinan' di negara-negara yang terkesan.

 

"Wanita yang semakin berkurangan dalam populasi akan menyebabkan meningkatnya tingkah laku dan keganasan anti-sosial dan boleh menjejaskan kestabilan dan perkembangan sosial dalam jangka masa panjang," jelas laporan berkenaan.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan amalan pemilihan seks ini dan juga perkahwinan kanak-kanak serta mencacatkan alat kelamin wanita sebagai amalan yang berbahaya di bawah Millennium Development Goals.

 

Penulis bagi kajian baharu ini menggesa pengumpulan data yang lebih baik dari amalan tersebut untuk membendungnya, dan juga inisiatif pendidikan yang lebih luas.

 

"Objektif yang lebih luas berkaitan keperluan untuk mempengaruhi norma gender merupakan teras dari amalan berbahaya seperti pemilihan seks pranatal," tambahnya.

 

Sehubungan itu, laporan itu menegaskan perlunya satu kerangka kerja perundangan yang meluas bagi memastikan kesaksamaan jantina. - DagangNews.com