Bazar Ramadan tidak ada kena mengena SST, kadar sewa tinggi jadi keluhan peniaga - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Bazar Ramadan tidak ada kena mengena SST, kadar sewa tinggi jadi keluhan peniaga - PM Anwar

Anwar Ibrahim ketika meninjau perniagaan di Bazar Ramadan Taman Perpaduan Ulu Kinta, Ipoh semalam./Gambar FB Anwar
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perluasan skop dan kadar baharu cukai perkhidmatan tidak menyebabkan kenaikan tingkat harga barangan pengguna.

 

Jelas Perdana Menteri, walaupun tidak dinafikan terdapat impak kecil kenaikan harga, namun ia bukan disebabkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Katanya, perubahan cukai perkhidmatan yang dilaksanakan mulai 1 Mac lalu hanya menyebabkan kenaikan inflasi sekitar 0.2 peratus seperti kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

"Dan Bazar Ramadan tidak ada kena mengena langsung dengan SST ini. 

 

"Kebanyakan (peniaga) yang mengeluh adalah kerana kadar sewa yang tinggi," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) pada sesi pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan jangka kutip hasil tambahan RM3 bilion daripada SST 8% - PM Anwar

 

Takiyuddin antara lain membangkitkan keluhan peniaga Bazar Ramadan yang berdepan kenaikan kos dan perbelajaan pengguna yang berkurang dengan mengaitkannya kepada kesan rantaian akibat perubahan kadar cukai perkhidmatan.

 

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau bersetuju pemantauan berterusan perlu dilakukan dalam isu ini kerana ada isu kesan sampingan kecil yang perlu dikawal.

 

Kata Perdana Menteri, namun secara khusus untuk mengaitkan dengan apa yang dihadapi peniaga Bazar Ramadan, ia lebih kepada rungutan kadar sewa.

 

"Pada pendapat saya, majlis perbandaran tidak ada sebab mengapa mengenakan sewa yang tinggi kepada bazar-bazar Ramadan," jelasnya.

 

Kata Anwar, pengecualian diberikan ke atas banyak perkara dalam soal SST kerana kerajaan mahu mengelak kesannya kepada rakyat.

 

"Apakah cukai harus dikenakan kepada rakyat biasa? Kita elak seperti mana kita lakukan dalam elektrik. 

 

"SST itu kita bagi pengecualian dengan maksud tidak mengenakan kesan negatif kepada kebanyakan rakyat," ujarnya.

 

Anwar dalam jawapannya turut menyentuh ada syarikat-syarikat yang mengambil kesempatan.

 

Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), Anwar berkata, barangan asas pengguna seperti beras, gula dan minyak masak di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara lain.

 

Katanya, harga beras di negara ini misalnya jauh lebih rendah berbanding Indonesia yang mencecah RM4.15 sekilo dan Thailand (RM3.50 sekilo).

 

"Di Malaysia harganya dari RM2.60 hingga RM3.50 sekilo," jelasnya yang mengakui harga di restoran meningkat berbanding di peringkat pasar. - DagangNews.com